Tuesday 17 July 2012

Jalur Gemilang Berkibar Di Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Jalur Gemilang Selasa malam berkibar serentak di seluruh negara bagi menandakan bermulanya sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini.

Bendera negara yang mempunyai 14 jalur merah dan putih serta merupakan simbol perpaduan Malaysia, turut melambangkan semangat sehaluan dan sehala tuju masyarakat negara ini dari Perlis ke Sabah dalam mencapai kegemilangan bangsa dan negara.

Malam ini dari Kangar hingga ke Kota Kinabalu, ribuan rakyat Malaysia bersama-sama pemimpin hadir pada acara yang diadakan di beberapa tempat di negara ini bagi mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dengan penuh semangat patriotik.

Di Kuala Lumpur, pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2012 dengan tema '55 Tahun Merdeka Janji Ditepati' diadakan serentak di tiga kawasan yang mewakili tiga kaum utama masyarakat negara ini, iaitu di Brickfields mewakili masyakarat India, Kampung Baru mewakili kaum Melayu dan Jalan Petaling mewakili masyarakat Cina.

Ribuan penduduk ibu negara hadir di ketiga-tiga lokasi untuk menjayakan acara yang penuh semangat patriotik dan berwarna-warni itu.

-- bERNAMA

No comments:

Post a Comment