BERA, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan
keperluan seperti minyak masak dan gula bagi menyambut bulan puasa tahun
ini mencukupi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata bagi minyak masak, Lembaga Minyak Sawit
Malaysia bersetuju menambah 10 peratus lagi kuota bekalan untuk diedar
kepada pemborong dan pembekal.
"Manakala barangan keperluan lain juga akan ditambah berikutan ramai
peniaga yang memerlukannya bagi menjalankan perniagaan mereka pada bulan
puasa nanti," katanya kepada pemberita selepas menutup Kejohanan Futsal
1Belia 1Malaysia Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini.
Mengulas kenaikan harga bawang putih baru-baru ini, Ismail Sabri
berkata kerajaan tidak dapat mengawal semua harga barangan keperluan
kerana ia diimport dan harganya bergantung kepada pasaran semasa.
"Kenaikan harga bawang putih baru-baru ini tidak dapat dielakkan kerana
negara pengeluar iaitu China kekurangan bahan tersebut disebabkan
pelbagai faktor, termasuk bencana alam.
"Namun demikian, kerajaan akan bertindak tegas ke atas peniaga atau
pekedai yang menaikkan harga barang secara mendadak, dan mereka boleh
diambil tindakan di bawah Akta Pencatutan yang membawa kepada hukuman
denda dan penjara," katanya.
Ismail Sabri turut mengulas Perhimpunan Oren Selamatkan Felda di ibu negara semalam.
Beliau berkata perhimpunan itu tidak mendapat sambutan peneroka kerana
sebahagian besar yang menyertainya bukan daripada golongan itu dan
mereka tidak ada kaitan dengan Felda.
"Mereka yang menyertai perhimpunan itu adalah semata-mata untuk
menimbulkan kekecohan sedangkan peneroka Felda sendiri menyokong langkah
kerajaan menyenaraikan Felda Global Ventures Holding di pasaran bagi
memperkasa agensi tersebut," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment