KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan penyiasatan pendapatan isi rumah/kemudahan asas (PPIR/KA) mengumpul maklumat berkaitan pola taburan pendapatan isi rumah mengikut pelbagai ciri sosio-ekonomi isi rumah di Malaysia.
Penyiasatan itu bermula pada Julai ini hingga Disember 2012.
"Lebih kurang 51,000 isi rumah terpilih dari seluruh negara bagi penyiasatan PPIR/KA 2012," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, objektif utama penyiasatan itu adalah untuk mengumpul maklumat berkaitan pola taburan pendapatan isi rumah.
"Dapatan dari penyiasatan PPIR/KA ini adalah antara input penting bagi kerajaan dalam rancangan pembangunan negara dan juga dalam penilaian pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10)," menurut kenyataan itu.
Data dipungut menggunakan soal selidik dan temu ramah dijalankan oleh pegawai dari Jabatan dan penemu ramah membawa bersama kad kuasa yang perlu ditunjukkan semasa membuat lawatan ke isi rumah terpilih.
"Dalam menyampaikan perangkaan yang dikumpulkan oleh mereka atau pentafsirannya, jabatan akan mengambil langkah untuk memastikan bahawa pengenalan mana-mana orang atau apa-apa perusahaan kepada sesiapa atau kepada mana ia berhubung adalah tidak dengan demikian itu didedahkan," menurut kenyataan itu.
Jabatan Perangkaan Malaysia amat berharap semua isi rumah yang terpilih dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya dalam memberikan maklumat yang lengkap dan tepat bagi memastikan kejayaan penyiasatan PPIR/KA 2012. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment