Sunday 22 July 2012

BPA Selesai 97.7 Peratus Daripada 13,356 Aduan Tahun Lalu

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima 13,356 aduan sepanjang tahun lalu, pengurangan 9.1 peratus berbanding 14,700 aduan tahun sebelumnya, dengan 97.7 peratus atau 13,045 aduan berjaya diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri G. Palanivel berkata daripada jumlah aduan yang diterima, 62.3 peratus atau 8,321 aduan adalah terhadap kementerian, manakala baki 37.7 peratus atau 5,035 aduan adalah terhadap kerajaan negeri.

"Kementerian yang menerima aduan tertinggi adalah Kementerian Dalam Negeri iaitu 16 peratus atau 1,356 aduan, yang meliputi soal-soal seperti kelewatan dalam memperbaharui pasport, kad pengenalan dan sebagainya, dan kesemuanya telah diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Tahunan BPA 2011 di sini Isnin.

Palanivel berkata ia diikuti oleh Kementerian Kerja Raya dengan jumlah aduan 818 (9 peratus) dengan 96.1 peratus telah selesai, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan 667 aduan (8 peratus) dan 93.6 peratus telah selesai, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan 638 aduan dengan 98.1 peratus telah diselesaikan dan Kementerian Kewangan dengan 585 aduan dan 98.5 peratus berjaya diselesaikan.

Beliau berkata kerajaan negeri yang menerima aduan tertinggi adalah Selangor dengan 19 peratus atau 950 aduan, di mana 85.5 peratus berjaya diselesaikan, diikuti Johor dengan 628 aduan dan Sarawak 520 aduan, kedua-duanya berjaya diselesaikan sepenuhnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment