Tuesday 26 June 2012

Speaker Tegur Anggota Parlimen Suka Berpolitik Dalam Dewan Rakyat

Sikap segelintir Anggota Parlimen yang suka berpolitik semasa berhujah pada persidangan Dewan Rakyat ditegur Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Rabu yang menyifatkan perbuatan itu hanya membuang masa dewan.
Katanya, Anggota Parlimen seharusnya menggunakan peluang yang diberi untuk berhujah perkara yang sepatutnya terutama pada sesi soal jawab dan meninggalkan politik di luar Dewan.
“Berucap panjang kalau tak ada isi serupa dengan ucapan pendek tapi padat. Timbanglah sikit pada pegawai Parlimen yang sampai jam 12 pagi (tengah malam menunggu urusan dewan selesai) duduk di sini. Kalau saya hadkan masa (berhujah) semua melenting, tidak cukup masa… tapi bila bagi peluang hujah semua politik.
“Sudahlah…(jangan) politik itu dalam dewan, biarlah politik di luar sana. Tak tidur pun tak apa,” katanya.
Terdahulu, Pandikar Amin menegur M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang bangun untuk bertanya soalan tambahan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar semasa sesi soal jawab menuduh kononnya kementerian itu banyak mengadakan program yang melibatkan anggota Umno semata-mata.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment