KUALA LUMPUR, 27 Jun – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi hari ini mengulangi bahawa tidak perlu ditubuhkan jawatankuasa
siasatan pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia kerana
pembeliannya telah mengikut peraturan dan tatacara pembelian yang
ditetap Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, katanya terpulang kepada mana-mana pihak lain khususnya
pembangkang, jika mahu menubuhkan jawatankuasa siasatan sendiri asalkan
bukan di bawah Parlimen.
Semalam Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan penangguhan oleh Nurul
Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, berkata tidak ada
keperluan menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat pembelian kapal selam
baru Scorpene kerana pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) itu dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan
Peralatan Pertahanan Negara.
Sebelum itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai berkenaan mengemukakan
beberapa cadangan termasuk penubuhan suruhanjaya bebas bagi menyiasat
isu pembelian perolehan pertahanan negara tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata tatacara perolehan itu
melibatkanpelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal
dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian teliti dibuat bagi
memastikan perolehan menepati keperluan ATM.
Zahid sebelum itu menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM
ke-22 di Kementerian Pertahanan di sini, yang turut dihadiri Panglima
Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara
Tan Sri Rodzali Daud dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera
(LTAT) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Kewujudan anugerah itu adalah untuk mengiktiraf anak-anak anggota ATM
yang cemerlang dalam bidang akademik di peringkat Penilaian Menengah
Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agar menjadi satu
galakan atau insentif kepada anak-anak anggota ATM.
“Pada tahun ini, bilangan pelajar yang cemerlang telah meningkat lagi
sebanyak 19.8 peratus dengan 304 pelajar cemerlang dalam SPM dan 651
pelajar cemerlang dalam PMR menjadikan kesemuanya seramai 955 pelajar
cemerlang berbanding 797 pelajar cemerlang tahun lepas,” kata Zahid
dalam ucapannya.
Beliau dalam pada itu menyatakan penghargaan kepada LTAT dan Perwira
Niaga Malaysia (PERNAMA) yang sentiasa membantu dan menghulurkan bantuan
untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan anak-anak ATM dari sekolah
rendah hingga ke universiti.
“Saya mengharapkan agar LTAT akan terus memberikan sumbangan untuk
meningkatkan pencapaian anak-anak warga ATM dalam bidang akademik,”
katanya.

No comments:
Post a Comment