KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini berhimpun
secara aman untuk menyerahkan memorandum mendesak Kedutaan Singapura
menarik balik khidmat tiga diplomatnya yang dilaporkan menyertai
perhimpunan haram Bersih 3.0.
Perhimpunan aman selama setengah jam di hadapan pejabat sementara
Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak di sini, bermula pada
pukul 1.30 petang ini, dihadiri 250 penyokong Perkasa yang diketuai
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.
Ibrahim berkata memorandum satu muka surat itu diserahkan kepada
Setiusaha Pertama Suruhanjaya berkenaan, Tan Chee King dan Setiausaha
Pertama Politik, Haris Rusdi Chai di lobi bangunan sementara suruhanjaya
itu.
Katanya tujuan memorandum itu dihantar adalah untuk menyokong prinsip
Malaysia yang tidak memerlukan sebarang campur tangan asing dalam isu
dalaman negara kerana ia mampu membawa kesan negatif yang boleh
menggugat hubungan baik kedua-dua kerajaan.
"Sebagai sebuah negara yang merdeka, mereka perlu menghormati antara
satu sama lain dan tindakan diplomat itu dilihat sebagai pengkhianatan
kepada negara ini," katanya kepada pemberita.
Ibrahim berkata Singapura juga perlu meminta maaf dengan kerajaan
Malaysia serta seluruh rakyatnya berhubung insiden berkenaan bagi
mengelakkan timbul lebih banyak persepsi negatif.
Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memanggil Pesuruhjaya
Tinggi Singapura Ong Keng Yong ke Wisma Putra berhubung pembabitan tiga
diplomat negara itu dalam perhimpunan haram berkenaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment