KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menganggap cadangan
Amerika Syarikat (AS)menggunakan pangkalan udara di Thailand sebagai
bentuk campur tangan negara itu di rantau Asean.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,
Malaysia menghormati dasar dan perjanjian bersama kedua-dua negara
berkenaan terutama cadangan menjadikan Thailand sebagai pangkalan tetap
kajian iklim serantau dan operasi bantuan bencana dan kemanusiaan.
“Oleh kerana ada perjanjian antara Thailand dengan AS, kita menghormati perjanjian antara kedua-dua negara berkenaan.
“Dalam perkara ini saya tak anggap ia sebagai campur tangan pihak AS
untuk rantau Asean,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di
sini, Selasa.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, AS mempunyai hak untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana negara sekutu mereka.
“Tentulah AS berhak untuk mengadakan kerjasama dua hala dengan
mana-mana negara yang mereka anggap sebagai sahabat atau sekutu,”
katanya.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ingin menggunakan pangkalan udara
U-tapao sebagai pusat operasi bantuan bencana dan kemanusiaan manakala
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA)
mahumenggunakan kemudahan itu bagi menjalankan kajian iklim serantau.
Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra dilaporkan berkata,
pasukan keselamatan negara itu tidak membantah cadangan Amerika Syarikat
itu.
Thailand merupakan salah satu sekutu utama AS di rantau ini khususnya
semasa Perang Vietnam dengan membenarkan tentera Amerika menggunakkan
kemudahan penting dan masih mengekalkan hubungan mesra.
Cadangan itu menimbulkan kontroversi apabila parti pembangkang,
Demokrat, mendakwa kerajaan Thailand bersetuju sebagai pertukaran untuk
visa ke Amerika Syarikat bagi bekas perdana menteri ThaksinShinawatra
walaupun pentadibiran Yingluck menafikannya.
Cadangan itu menerima bantahan kerana ia mungkin menceroboh
kedaulatan wilayah dan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen terlebih
dahulu.
Manakala ada pihak berpendapat projek NASA mungkin menimbulkan
kebimbangan pengintipan ke atas negara jiran kerana ia
membabitkanpenerbangan altitud tinggi.
-mStar Online
No comments:
Post a Comment