Saturday 30 June 2012

Kerajaan Peruntuk RM8 Juta Di Bawah Skim Pinjaman Kecil Francais - Ismail Sabri

SEREMBAN, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM8 juta di bawah Skim Pinjaman Kecil Francais bagi pembiayaan khas pinjaman mudah untuk perniagaan francais mikro.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemudahan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan tidak melebihi 65 tahun pada tarikh permohonan.

"Ia melibatkan pakej francais tidak melebihi RM50,000 dan margin pembiayaan sehingga 90 peratus atas kadar 3 peratus setahun sahaja ke atas baki berkurangan dengan tempoh masa pembiayaan sehingga lima tahun," katanya pada program francais komuniti peringkat Negeri Sembilan Jumaat.

Beliau berkata apa yang menarik ialah pinjaman mikro itu tidak memerlukan sebarang cagaran atau penjamin, cukup sekadar mempunyai surat tawaran daripada francaisor tempatan dan syarikat berdaftar, serta tidak semestinya mempunyai premis perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai merebut peluang ini dan menjadikannya sebagai satu landasan untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan francais.

"Sehingga 25 Jun 2012, daripada RM8 juta itu, sejumlah RM3.5 juta telah diluluskan kepada seramai 152 bakal francaisi. Selain daripada skim pinjaman kecil ini, pelbagai kemudahan pinjaman lain juga disediakan untuk membiayai perniagaan francais, sama ada untuk francaisor ataupun francaisi, melalui agensi di bawah kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

"Sehingga kini, PNS telah meminjamkan lebih dari RM45.88 juta kepada 48 francaisor dan RM149.68 juta kepada 923 francaisi. Selain itu, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan khas untuk pembiayaan perniagaan francais oleh golongan wanita, termasuk ibu tunggal," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan masih berusaha memudahcarakan jenama francais tempatan agar berkembang ke luar negara.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 46 jenama tempatan diperluas ke 50 negara asing dengan 1,413 cawangan.

Di Malaysia, katanya, industri francais menyumbang sejumlah RM21.48 bilion atau 2.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas dan pada 2012, jumlah ini dijangka dapat dipertingkat dengan sasaran RM22.5 bilion.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment