Wednesday 27 June 2012

Golongan Elit Antara Punca Selangor Tertinggi Pengundi Tidak Berdaftar

SELAYANG, 27 Jun – Pendedahan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa negeri Selangor adalah negeri tertinggi mencatat pengundi yang masih gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 iaitu seramai 600,000 orang tidak mengejutkan UMNO Selangor.
Ini kerana menurut Ketua Penerangan UMNO Selangor Abdul Shukur Idrus, berkemungkinan besar jumlah tersebut kebanyakannya terdiri daripada golongan elit yang tidak dinafikan amat sukar didekati.
Katanya, usaha UMNO Selangor dalam mendaftar pengundi baru sering berhadapan masalah apabila melibatkan masyarakat bandar terutamanya golongan elit yang tinggal di kawasan-kawasan mewah seperti contoh Subang Jaya dan Taman Tun Dr. Ismail.
“Golongan elit ini memang susah didekati dan mereka menganggap bahawa daftar pengundi ini tidak penting malah mereka juga sukar untuk menerima kehadiran jentera pilihan raya kita dalam usaha mendaftarkan mereka sebagai pengundi.
“Namun begitu kita tetap berusaha dan mencari jalan penyelesaian agar perkara ini dapat diatasi. Saya amat berharap agar golongan elit ini lebih berfikiran terbuka terhadap politik dan daftar pengundi kerana mereka adalah dari golongan yang cerdik pandai.
“Saya menyeru agar golongan elit ini tampil ke hadapan dan membantu kita dalam mendaftar pengundi baru. Mereka juga harus sedar tanggungjawab mereka kepada negara walaupun mereka ini kaya tetapi tanggungjawab mengundi adalah penting selaku warganegara Malaysia,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Selain itu menurut Abdul Shukur yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Selayang, satu lagi faktor adalah orang luar yang berpindah ke Selangor terutamanya yang bekerja di negeri ini.
“Mereka ini selalunya hanya bertukar alamat untuk kemudahan surat menyurat dan membeli barangan tetapi ketika mengundi mereka akan mengundi di luar daerah. Ini juga adalah di antara faktor yang menyumbang negeri Selangor mencatat jumlah tertinggi pengundi yang belum mendaftar sebagai pengundi.
“Saya akan terus menggerakkan jentera kita walaupun masa sudah terlalu suntuk tapi kita tetap akan mencuba yang terbaik kerana satu undipun amat bererti buat kita,” jelasnya lagi. – MediaUMNO

1 comment:

  1. Salam tuan.

    Semut dalam usaha untuk mengumpulkan pengiat maya terutamanya blogger di Negeri Pahang agar dapat kita berkongsi dalam perjuangan di alam maya ini.

    Mohon jasa baik tuan untuk menghantarkan email tuan ke alamat: semuthitan80@gmail.com

    Jasa baik tuan didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

    ReplyDelete