KUALA LUMPUR 21 Feb. - Penjawat awam yang didapati terlibat dengan
kegiatan politik tanpa kebenaran daripada ketua jabatan ataupun
berpolitik dalam waktu kerja boleh dikenakan tindakan tata tertib, kata
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan
pekeliling yang membenarkan kumpulan pelaksana iaitu dari Gred 1 hingga
Gred 40 terlibat di dalam politik dan mereka perlu mengikut
syarat-syarat yang ditetapkan di dalam pekeliling tersebut.
Syarat-syarat tersebut antaranya mesti mendapat kebenaran daripada ketua jabatan dan berpolitik selepas waktu pejabat.
"Kalau ada kes (yang melanggar syarat tersebut), kita patut bertindak
di atas maklumat yang tepat, tidak boleh bertindak atas dasar orang
kata itu, orang kata ini," katanya dalam sesi soal jawab pada
perhimpunan khas bersama pemimpin Cuepacs di sini hari ini.
Seorang wakil Kedah mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan
segera ke atas penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam politik
pembangkang kerana ia dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada sektor
awam.
Muhyiddin berkata, laporan yang lengkap dengan maklumat yang tepat
perlu dikemukakan kepada JPA untuk siasatan sebelum sebarang tindakan
dikenakan.
"Untuk menentukan ada asas keadilan dalam tindakan kita, jika
benar-benar mereka lakukan mesti ada laporan, JPA dan bahagian tata
tertib mesti berpandukan kepada laporan, itupun tidak semestinya
diterima bulat-bulat," katanya.
Beliau berkata, ia penting supaya apabila sesuatu tindakan diputuskan
ke atas penjawat awam yang melanggar syarat tersebut, ia tidak dianggap
sebagai satu penganiayaan kepada mereka.
"Apa pun mesti berpandukan kepada pekeliling dan maklumat yang tepat yang ada sebelum tindakan diambil," katanya.
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, adalah lebih baik untuk
penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain
berpolitik.
"Kita sudah tandatangan akujanji, jadi lebih baik tumpu agenda
penjawat awam, kalau nak berpolitik juga, minta kebenaran, jangan
berpolitik pada waktu kerja," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, bercakap di hadapan 3,000 pemimpin Cuepacs seluruh
negara, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan
segala keperluan dan hajat rakyat tanpa perjuangan dan sumbangan
daripada penjawat awam.
"Ini kerana, saudaralah yang menjadi tonggak yang telah dapat memikul
amanah menterjemahkan dasar kerajaan supaya rakyat dapat menerima
kesannya dan keadaan mereka bertambah lebih baik pada masa akan datang,"
katanya.
Beliau berkata, dengan sumbangan penjawat awam di seluruh negara,
kerajaan mencatat banyak kemajuan dan dapat meletakkan negara dalam
keadaan yang cukup baik serta diiktiraf antara negara membangun yang
paling maju.
"Hal ini berlaku kerana adanya persefahaman dan kesediaan saudara
bersama dengan pemimpin untuk memikul tugas yang berat, ini bukan mudah
untuk kita laksanakan tugas dan tanggungjawab kita kerana di hadapan
kita mempunyai sejumlah lebih 28 juta rakyat semuanya mempunyai aspirasi
dan mahu kerajaan membuat sesuatu untuk menambah baik kehidupan mereka.
"Mereka mahu lebih berjaya, mereka mahu hidup dalam keadaan lebih
selesa dan harapan yang mereka letakkan adalah pada pihak pimpinan
kerajaan, kerajaan harus boleh berbuat sesuatu untuk memperbaiki
kehidupan mereka," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment