Thursday 21 February 2013

@ismailsabri60 @KPDNKK Sasar 200 Pendaftaran Syarikat Baharu Menerusi PLT

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan 200 perniagaan baharu akan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bentuk perniagaan yang dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), masih memerlukan pendedahan yang luas bagi memastikan rakyat benar-benar memahami tentang polisi dan syarat-syarat yang ditetapkan SSM.

"Sehingga kini, 14 syarikat baharu telah mendaftar di bawah PLT, dan saya percaya, dengan faedah-faedah yang ditawarkan menerusi perniagaan ini, orang awam akan lebih cenderung untuk memilih PLT sebagai bentuk perniagaan mereka," katanya kepada media selepas pelancaran PLT di sini hari ini.

SSM mewujudkan PLT sebagai pilihan tambahan bagi rakyat menubuhkan perniagaan, selain syarikat, milikan tunggal atau firma perkongsian.

Bentuk perniagaan ini menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat dan sebuah firma perkongsian yang memberikan perlindungan status liabiliti terhad kepada pihak yang berkongsi dan keanjalan aturan perkongsian kepada urusan dalam perniagaannya.

Konsep PLT akan menyokong perniagaan baharu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan profesional untuk berkembang tanpa perlu bimbang terhadap liabiliti dan asset peribadi dan keperluan pematuhan yang ketat.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berharap keistimewaan dan manfaat PLT ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan di Malaysia dan dapat menjadikan negara ini sebuah pusat perniagaan yang kondusif dan dinamik di rantau ini.

"Risiko berkaitan perniagaan merupakan salah satu faktor penghalang untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ini dapat dikurangkan melalui PLT kerana kerangka perundangannya dapat melindungi aset peribadi pekongsi perniagaan.

"Perundangan PLT juga mempunyai mekanisme perlindungan yang mencukupi untuk memastikan kepentingan pihak ketiga yang berurusan dengan PLT dan mereka yang berkongsi, turut dilindungi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Mohd Naim Daruwish berkata objektif PLT ialah untuk mewujudkan suasana perniagaan yang lebih kondusif dan kompetitif di Malaysia dalam era globalisasi masa kini.

"Pengenalan PLT telah mengambil kira keperluan komuniti perniagaan di mana perundingan awam, rundingan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas bagi melaksanakan perundangan baharu ini," katanya.

Pihak awam dibenarkan mendaftar perniagaan sebagai PLT ini bermula 5 Feb 2013 melalui perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh SSM melalui portal MyLLP.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment