Tuesday 29 January 2013

'Tiada parti politik yang jitu seperti dahulu'

KUALA LUMPUR: Pengasas kumpulan pemikir Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Tunku Zain Al'-Abidin kesal perbincangan peribadi antara beliau dengan DAP dibawa kepada pengetahuan umum.

Kata beliau, nasi sudah jadi bubur.

"Oleh kerana perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan umum, saya boleh mengesahkan bahawa butiran perbincangan dengan DAP beberapa bulan sebelum ini adalah hampir tepat," kata Tunku Zain dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tunku Zain merujuk kepada kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendedahkan bahawa DAP pernah memujuk anakanda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan itu agar menyertai DAP.

Tunku Zain juga mengakui pernah dijemput untuk bertemu dan berbincang secara tidak rasmi dengan wakil-wakil parti politik yang lain.

Tiada parti politik jitu

Menurut Tunku Zain, beliau amat menghormati dan mengkagumi ahli politik tanpa mengira kepartian yang berprinsip dan bekerja keras.

"Namun, pada pandangan saya tiada satupun parti politik pada hari ini yang mampu menyamai kejituan dan kesaksamaan visi Ayahanda Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman Putra) yang boleh mempengaruhi saya untuk menyertai mana-mana parti," katanya.

Tunku Zain juga menangkis hujah bahawa tidak wajar untuk putera raja melibatkan diri dengan parti politik, dan beliau menyenaraikan lima tokoh politik daripada kerabat diraja termasuk bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan ADUN Pauh Dato’ Seri Syed Razlan Jamalullail (Perlis).

Tunku Zain juga menegaskan mahu terus komited menyumbang ke arah perkembangan masyarakat sivil melalui Ideas dan beberapa yayasan lain.

Tunku Zain mengeluarkan kenyataan media susulan pendedahan bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa DAP pernah memujuk beliau untuk jadi calon parti itu pada PRU-13 nanti.

Tunku Abdul Aziz mendakwa Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke yang mengarahkan beliau yang ketika itu masih bersama DAP agar memujuk Tunku Zain menyertai parti berkenaan.

Loke dalam reaksinya menuduh Tunku Aziz sebagai seorang tiada integriti dan tidak beretika kerana mendedahkan perbincangan yang bersifat peribadi. Beliau bagaimana pun enggan mengulas lanjut isu pelawaan DAP kepada Tunku Zain itu.

No comments:

Post a Comment