Monday, 21 January 2013

Kalimah Allah : DAP Kambinghitamkan Presiden PAS

Pemimpin, ahli dan penyokong PAS perlu membuka mata dan minda berikutan dengan gesaan yang paling tidak beradab oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh seperti yang telah dilaporkan.
Kebiadaban Karpal Singh sekali lagi terserlah apabila beliau :
a. Menggesa supaya Majlis Syura Ulama PAS mengkaji semula keputusan yang dibuat berhubung dengan kalimah Allah supaya selari dengan pendirian Pakatan Rakyat;
b. Menggesa Presiden PAS menentukan supaya pendirian parti Islam itu juga selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat;
Amatlah jelas bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP tidak berganjak dengan pendirian parti itu mengenai Kalimah Allah yang sedang hangat dibincangkan. Selain daripada itu kenyataan terkini Karpal Singh itu boleh ditafsirkan seperti berikut :
a. DAP ingin menjadi juara dalam isu kalimah Allah memandangkan pimpinan yang lain termasuk di pihak PKR belum membuat kenyataan. Atau kalau adapun kenyataan dibuat nada kenyataan itu tidak sekeras yang dikehendaki oleh DAP;
b. Ternyata bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP merasakan pucuk pimpinan PAS boleh dilentur-liuk memandangkan sebelum ini terjahan-terjahan Karpal Singh dalam beberapa isu menyebabkan PAS terpaksa mengangkat bendera putih;
c. DAP ingin menjadi peneraju Pakatan Rakyat dalam beberapa isu termasuk yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan Melayu;
d. Tindakan sebahagian pimpinan PAS yang membuat pusingan U dalam isu ini menjadikan Karpal Singh semakin bersemangat dan bertenaga untuk membawa inti-inti perjuangan DAP ke dalam Pakatan Rakyat;
e. Kejahilan Karpal Singh terhadap struktur membuat keputusan yang dipraktikkan oleh PAS. Dalam PAS, hal-hal dasar ditentukan oleh Majlis Syura sementara perlaksanaan dasar dan urusan harian parti diserahkan kepada Presiden dan jawatankuasa pusatnya. Kejahilan sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana kerjasama di antara DAP dan PAS telah diteroka sebelum PRU ke 12 tahun 2008 lagi.
Sekarang ini kelihatan isu kalimah Allah sudah benar-benar dijadikan bola politik yang terus dilambung. Karpal Singh telah menggunakan ruang dan kesempatan yang ada untuk cuba membuat pukulan maut ke atas bola tanggung yang sedang dilambung-lambungkan.
Tidak salah kalau saya cuba membuat ramalan bahawa sudah terdapat beberapa tanda keretakan di dalam Pakatan Rakyat. Semakin hari keretakan itu bertambah membesar dan berkemungkinan struktur Pakatan Rakyat itu sendiri akan roboh dan tumbang ke bumi akibat daripada struktur utama yang semakin lemah itu.
Dalam kedudukannnya sebagai Presiden, Ustaz Hadi Awang tidak mempunyai banyak pilihan yang ada di hadapan beliau. Pilihan pertama akur kepada kehendak Karpal Singh dan DAP yang kini dilihat menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat. Pilihan kedua pula keperluan mempertahankan keputusan Majlis Syura dengan lebih bertenaga akibat desakan musuh-musuh Islam dalam DAP itu. Pada hemat saya pilihan yang kedua adalah lebih munasabah dengan mengambil kira apa sebenarnya perjuangan PAS selama ini dan siapa yang menggalas perjuangan itu.
Ketegasan dan istiqamah Ketua Dewan Ulama PAS dan beberapa pimpinan ulama PAS harus disanjung. Mereka mengambil sikap berdasarkan metodologi syariah tidak berganjak untuk mempertahankan bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai di kalangan mereka yang bukan Islam. Dengan PRU ke 13 yang akan diumum pada bila-bila masa kemungkinan sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku di dalam Pakatan Rakyat. Tidak mungkin mereka akan menghadapi PRU ke 13 dengan beberapa isu besar yang boleh mengubah pilihan pengundi masih belum dapat diselesaikan.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
20 Januari 2013

No comments:

Post a Comment