AIDC – Pendedahan bekas pegawai PKR, Syamsul Hidayat Mohd Sharif tentang BERSIH yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim sebagai senjata terpenting menumbangkan kerajaan menarik diteliti.
Syamsul Hidayat yang merupakan bekas salah seorang staff di ibu pejabat PKR di Brickfields juga turut dilibatkan sebagai salah seorang anggota jawatankuasa perhimpunan haram BERSIH 1.0 pada 2007.
Dedahnya, Anwar, Ketua Umum PKR mencetuskan idea demonstrasi jalanan itu untuk memulihkan sokongan terhadapnya yang semakin menyusut berbanding dengan reformasi 1998.
Semasa era reformasi 1998, nama Anwar Ibrahim boleh ‘dijual’ untuk menarik khalayak rakyat, namun selepas dia merengkok dalam penjara untuk jangka masa 6 tahun, kepopularan namanya mula kian pudar.
Selepas dibebaskan dari penjara Sungai Buloh pada September 2004, Anwar melakukan proses ‘rehat’ buat sementara dengan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) selama dua tahun.
Ketika itu, Anwar berulang-alik dari AS ke Kuala Lumpur untuk melakukan kerja-kerja politik dari tahun 2005 hingga ke penghujung tahun 2007.
Sudah tentu dalam keadaan seperti itu, nama Anwar Ibrahim bukan lagi sebagai ‘pelaris’ untuk menarik khalayak rakyat, maka perlu dicipta topeng lain sebagai muka depan untuk menyembunyikan sosok tubuhnya yang berselindung di sebaliknya.
Syamsul yang juga bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (PKR) berkata, BERSIH adalah peniruan ‘reformasi 1998′ sebagai kenderaan Anwar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang terbukti berjaya menggulingkan kerajaan Terengganu pada tahun 1999.
“Anwar pertama kali mahu mengadakan BERSIH 1.0 perhimpunan raksasa pada Nov 2007 untuk membangkitkan penentangan terhadap kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-12.
“Anwar mahu mengklon perhimpunan reformasi tahun 1998,” dedah Syamsul.
Menurutnya, selain BERSIH bermatlamat untuk memarakkan api permusuhan rakyat dengan kerajaan, ia juga bertujuan untuk mengumpul dana asing.
“Sebelum ini parti itu bergelut untuk membayar gaji kakitangan untuk beberapa bulan.
“Tetapi terima kasih kepada Bersih, PKR tiba-tiba menjadi kaya,” dedahnya lagi.
Selepas PRU 12, sekitar Mei 2008, PKR meninggalkan pejabat lamanya di Brickfields dan berpindah ke pejabat baru, bangunan 10 tingkat di Tropicana, Damansara.
Sebelum itu, sekitar awal Januari 2007, Anwar menjual rumah lamanya di Damansara dan membeli rumah barunya dikatakan bernilai RM7 juta di Bukit Segambut Dalam, Kuala Lumpur. Baca selanjutnya, “Ezam : Kalau Boleh Buat Rumah RM7 juta, Apakah Duit Jadi Persoalan ?”
Klonkan BERSIH
BERSIH 1.0 diadakan pada 10 November 2007, namun perancangannya sudah bermula sejak dua tahun daripada itu.
Dicatatkan secara tersurat dari sesawang bersih.org, platform politik bertopeng NGO masyarakat sivil (civil society) itu bermula dari Jawatankuasa Tindakan Bersama bagi Pembaharuan Pilihan Raya (Joint Action Committee for Electoral Reform), yang telah ditubuhkan pada bulan Julai 2005.
Kemudian ia diteruskan dengan bengkel-bengkel reformasi pilihanraya pada 2006 yang menghasilkan pembentukan Jawatankuasa Komunikasi Bersama (Joint Communique) yang didalangi oleh 3 NGO hak asasi dan masyarakat sivil iaitu SUARAM (Suara Rakyat Malaysia), WDC (Women’s Development Collective) dan WAMI (Writers Alliance for Media Independence).
BERSIH secara rasminya dilancarkan pada 23 November 2006 di lobi bangunan Parlimen Malaysia yang dihadiri oleh pemimpin politik pembangkang dan kumpulan-kumpulan NGO hak asasi dan masyarakat sivil.
Mereka yang hadir adalah Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Sivarasa Rasiah (ketika itu Naib Presiden PKR), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Teresa Kok (Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan), Nasharudin Mat Isa (ketika itu Timbalan Presiden Pas), Salahudin Ayub (Ketua Pemuda PAS), S. Arutchelvan (SUARAM/Setiausaha Agung PSM), Marina Chin Abdullah (Pengarah Eksekutif WDC) dan Yap Swee Seng (Pengarah Eksekutif SUARAM).
Dari BERSIH 1.0 inilah diwarisi pula dengan BERSIH 2.0, BERSIH 3.0, Janji BERSIH dan paling akhir dijelmakan semula sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR).
Melihat kepada nama yang dibariskan di atas terutamanya nama pertama dan kedua sudah mencerminkan siapakah pemain sebenar di sebalik penubuhan BERSIH itu.
Lebih menarik lagi, 18 hari selepas penganjuran Himpunan BERSIH 1.0 di Kuala Lumpur, jurucakap Jabatan Negara AS menyuarakan sokongan terhadap perhimpunan tersebut.
Operasi berselindung di sebalik status tenaga pengajar
Berdasarkan unjuran tahun susur galur idea penubuhan BERSIH dari Julai 2005, hingga majlis perasmiannya pada November 2006, Anwar ketika itu berstatus ‘perunding’ yang berulang-alik dari Washington ke Kuala Lumpur.
Walaupun ketika itu Anwar sudah berhijrah, menetap dan mempunyai pejabat serta syarikat perniagaan di AS, namun dalam masa sama Anwar juga mempunyai Pejabat Peribadi Ketua Umum PKR, Seksyen 16, Petaling Jaya, selain pejabat rasmi parti di Brickfields.
Ini membuktikan walaupun pada hakikinya berhijrah ke AS, melakukan ‘operasi tertentu’ berselindung di sebalik status tenaga pengajar, namun operasi Anwar di AS itu juga ada kaitan dengan kerja-kerja politiknya di Malaysia.
“Selain memegang beberapa jawatan lain termasuk sebagai pensyarah di School of Advanced International Studies (SAIS), John Hopkins University iaitu sebuah lubuk untuk mengkader puppet@petualang paling jijik, dia (Anwar) juga adalah sebagai perunding kepada Bank Dunia.
“Pada 2007, Anwar menjadi ahli panel pemilih Anugerah Demokrasi (Democracy Award) untuk National Endowment for Democracy (NED) yang berpaksikan pegangan neocon, selain menjadi ahli panel dalam satu majlis penyerahan bantuan (dana) NED.
“Tepat sekali jika dikatakan pergerakan politik pembangkang Anwar di Malaysia mendapat sokongan daripada gerombolan-gerombolan petualang tersebut (globalist) yang beliau dampingi sejak sekian lama”, dedah Tonny Cartalucci, penyelidik AS yang berpangkalan di Thailand dalam rencananya bertajuk “CIA Coup Army Uncovered in Asia”
Tepat sekali seperti yang dijelaskan oleh Ezam Mohd Nor, Anwar berhijrah ke AS bukan sekadar atas faktor duit untuk dirinya, tetapi faktor yang lebih besar untuk mendapat ‘naungan politik’ daripada musuh-musuh Islam di AS.
“Bagi saya, itu adalah pilihannya. Hanya kerana semata-mata untuk mendapat dokongan dan pengaruh daripada kuasa asing untuk berhadapan dengan kerajaan dalam negara ini apabila dia sudah tidak lagi mendapat tempat dalam pemerintahan negara ini.
“Jadi, manusia seperti Anwar ini, keseluruhan hidupnya hanyalah untuk menjadi Perdana Menteri dan dia sanggup melakukan apa sahaja.
“Tentunya pihak Zionis suka kepada orang yang sebegini. Seorang yang mereka tahu apa hobinya. Mereka tahu apa cita-citanya dan mereka tahu orang ini sanggup berkompromi apa sahaja. Meletakkan agama, bangsa dan negaranya di belakang hobi, cita-cita dan masalah peribadinya,” kata Ezam.
Bacaan lanjut, sila baca, “Di Sebalik Status Anwar Sebagai Pengajar“, “Di Sebalik Status Anwar Sebagai ‘Pengajar’ (2)“, “Di Sebalik Status Anwar Sebagai ‘Pengajar’ (3)” dan “Di Sebalik Status Tenaga ‘Pengajar’, Siapakah Anwar Ibrahim ?”
Tonny Cartalucci, dalam artikelnya, “A foreign-funded movement for a foreign-serving agenda“, meletakkan bukti foto penglibatan Anwar dalam majlis penganugerahan “Democracy Award 2007” tajaan NED di Washington sebagai bukti kukuh bahawa Anwar Ibrahim adalah globalist-stooge (boneka globalist).
‘Globalist-stooge, merujuk kepada tokoh yang dipilih untuk diperalatkan (puppet) oleh sekumpulan globalist, iaitu sekumpulan tokoh Barat (seperti George Soros) yang bercita-cita mahu ‘menawan dunia’ untuk merealisasikan polisi ekonomi asing dan menjayakan New World Order(NWO).
Bagi pengkaji Barat, jika seseorang tokoh luar dari AS seperti Anwar berjaya dibuktikan terlibat dengan NED, badan boneka kepada CIA, ini merupakan kunci penting untuk mengesahkan seseorang itu menjadi tali barut pihak asing.
“Banyak yang telah kita lakukan pada hari ini secara rahsianya telah dilakukan 25 tahun dahulu oleh CIA,” kata Allen Weinstein, penggubal undang-undang NED, di mana ia berperanan dengan lebih meluas menggunakan ranting-rantingnya termasuk NDI (National Democratic Institute for International Affairs), IRI (National Democratic Institute for International Affairs), CIPE (Center for International Private Enterprise) dan ACILS (American Center for International Labor Solidarity).
Tonny Cartalucci dalam rencana bertajuk “BOMBSHELL: US Caught Meddling in Russian Elections!” turut menamakan Freedom House sebagai salah satu ranting NED yang bersekutu dengan badan-badan kepunyaan penyangak mata wang Yahudi, George Soros, termasuk OSI (Open Society Institute), FIDH (International Federation for Human Rights) Reporters Without Borders (US Chapter) dan AI (Amnesty International) untuk operasi menawan dunia, yang dinamakan ‘Regime Change‘.
Dalang di sebalik BERSIH
Pada tahun 2006, NDI, mengaku mengadakan bengkel latihan untuk menyemarakkan pergerakan Bersih di Malaysia, namun setelah penglibatan badan AS itu mula terbongkar, bukti dari laman rasmi ndi.org itu telah dipadamkankan, begitulah pendedahan Tonny Cartalucci dalam rencananya bertajuk “Wall Street Fills Malaysian Streets With Unrest“.
NDI adalah salah satu cabang NED yang dipengerusikan oleh bekas Setiausaha Negara AS, Madeline Albright, merupakan salah seorang tokoh Yahudi yang lantang membela Anwar sejak September 1998.
Ini adalah bukti kenyataan dari laman rasmi NDI sebelum dipadamkan.
Dalam bukti dokumen di atas, NDI mengaku menganjurkan bengkel-bengkel BERSIH di Malaysia bekerjasama dengan badan pemikir DAP, REFSA (Research For Social Advancement).
“Pada bulan Julai 2005, NDI menganjurkan bengkel peringkat kebangsaan kepada pemimpin parti mengenai reformasi pilihan raya. NDI telah menjalankan bengkel-bengkel di seluruh Malaysia dengan bekerjasama dengan REFSA, sektretariat BERSIH.
“Pada tahun 2006, NDI menjalankan bengkel-bengkel untuk BERSIH dengan fokus untuk memperbaiki pelan tindakan penglibatan setiap organisasi atau parti politik.
“Pada tahun 2007, NDI dan BERSIH menjalankan siri-siri bengkel di wilayah politik yang diabaikan di Sabah dan Sarawak untuk memberi pendidikan hak-hak undang-undang dan aspirasi politik,” lapor laman rasmi NED sebelum dipadamkan.
Bandingkan kenyataan rasmi NDI dengan kenyataan BERSIH dan bukti bergambar yang disiarkan oleh organ parti Keadilan, Suara Keadilan, terbitan 28 November – 12 Disember 2006.
Suara keadilan melaporkan 30 pemimpin-pemimpin PKR menghadiri kursus NDI pada 20 November 2006, di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Antara yang hadir adalah Dr Xavier Jayakumar, Mustafa Kamil Ayub, Kamarul Baharin Abbas, Sivarasa Rasiah, Khalid Ibrahim, Johari Abdul, Amiruddin Shaari, Haniza Talha dan lain-lain.
Sebelum ini, Muhamad Rahimi Osman, bekas Setiausaha Sulit Anwar pernah mengemukakan bukti-bukti tentang penglibatan Anwar dengan NED dan Soros.
Antara yang dibongkar adalah surat-surat Anwar kepada Carl Gershman, Presiden NED, bertarikh 18 Jun 2007 dan 29 Julai 2007.
Satu lagi dokumen yang dibongkarkan bertajuk “The Institute For Democracy And Reform (INDEFOR)”, Initiative for Electoral Reform and Monitoring Malaysia 2006-2008 yang juga dihantar kepada NED.
Berdasarkan pendedahan-pendedahan dokumen di atas, jelaslah walaupun Anwar secara fizikalnya berada di AS, namun apa yang berlaku sekitar tahun 2005 – 2007 adalah di bawah kawalannya.
Dan ini terbukti, apabila perhimpunan BERSIH 1.0 dianjurkan di Kuala Lumpur pada 10 November 2007, Anwar difokuskan oleh media Barat sebagai penganjurnya.
Nama BERSIH & Rakyat perisai lindungi kerja kotor
Dr Sulaiman Noordin menyifatkan pemilihan nama berbentuk positif seperti BERSIH dan Rakyat adalah sebagai perisai untuk melindungi agenda kekotoran di sebalik nama itu.
Sambil memetik kata-kata Phill Agee, bekas pegawai CIA, Dr Sulaiman mendedahkan bagaimana badan perisikan AS berjaya mengeksploitasi slogan ‘People Power’ atau ‘Kuasa Rakyat’ untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
“Lihat betul-betul sejarah penubuhan BERSIH ini….BERSIH pun ada di Filipina, di Thailand dan di Indonesia (meskipun namanya berbeza). Di sana dinamakan ‘people power’ iaitu ‘kekuatan rakyat’.
“Yang lebih bahaya lagi pertubuhan bersih di Filipina atau Thailand dibantu oleh pertubuhan (yang) namanya NED, National Endowment for Democracy. Yang sebenarnya (NED) adalah satu pertubuhan topeng bagi CIA.
“(Selepas itu) NED memberi wang kepada topengnya yang kedua (yang) namanya, NDI (National Democracy Institute), iaitu cawangan daripada NED.
“NDI dikepalai oleh Madeline Al Bright dan kawannya Soros dan ada tokoh-tokoh Yahudi yang lain.
“Rakyat Malaysia sudah tahu, bahawa dua tokoh itu, Madeline Albright dan Soros (adalah) penyokong kuat PKR (sejak dari) tahun 1990-an”, katanya.
Dr Sulaiman merupakan bekas Pengarah Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, merupakan seorang penyelidik yang pernah menulis buku “Gerakan Antarabangsa dan Keselamatan Negara” (1994).
Teknik menggunakan demonstrasi jalanan sebenarnya kepakaran Anwar Ibrahim sejak dari tahun 1970-an lagi.
Barangkali kerana kepakaran itu, Anwar dilantik membina tapak protes rakyat kepada kerajaan melalui NGO yang dikenali Foundation For The Future (FFF).
FFF di Timur Tengah seumpama BERSIH di Malaysia, iaitu mensasarkan golongan masyarakat sivil (civil society) sebagai teras agenda mereka.
Kompenan-kompenan masyarakat sivil yang diperkasakan Anwar dalam FFF adalah golongan yang memperjuangkan hak asasi manusia termasuk kumpulan kebebasan dalam beragama dan kebebasan dalam seksual, LGBT, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender.
Meneliti satu dokumen minit mesyuarat FFF di Manama, Bahrain bertarikh 30 Mei 2007 yang dilampirkan di bawah mendedahkan peranan Anwar dalam memperkasakan kumpulan masyarakat sivil itu.
Dalam minit itu, walaupun Anwar dilantik sebagai pengerusi, namun pemain sebenar adalah Shaha Ali Reza, wakil Jabatan Negara AS.
Satu badan yang dinamakan Eurasia Foundation pula ditugaskan untuk menyediakan pelan bertindak asas operasi FFF berdasarkan pengalamannya berjaya menyuntik gerakan demokrasi di negara-negara bekas Soviet Union.
Turut didedahkan bagaimana peranan Eurasia Foundation, badan tajaan USAID (United States Agency for International Development) yang sudah dikenali umum sebagai topeng untuk operasi-operasi covert CIA dalam membantu agenda Anwar memperkasakan demokrasi di Timur Tengah.
FFF inilah perintis jalan kepada Arab Spring yang berlaku secara meluas di Timur Tengah.
No comments:
Post a Comment