IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
perjuangan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul walaupun
perikatan itu tidak menggunakan label Islam.
Perdana Menteri berkata segala program transformasi yang dilaksanakan
oleh kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.
"Apa yang kita lakukan adalah berpandukan kepada kehendak Islam seperti
yang tertera dalam maqasid syariah. Maqasid syariah itulah panduan
induk kita," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di
Kediaman Menteri Besar di sini, Khamis.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri
Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemimpin parti komponen
BN.
Terdahulu, Najib dan isteri meluangkan masa mendengar tazkirah sebelum
berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib. Beliau kemudiannya
menunaikan solat sunat Tarawih.
Najib berkata kerajaan BN menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjaga kesucian Islam.
"Agama kita pegang, keamanan kita pegang. Ini adalah perjuangan kita bersama," katanya.
Beliau berkata Islam tidak menyempitkan agama dan yang menyempitkan
agama adalah puak tertentu kerana politik dan tidak meletakkan Islam
tertinggi dalam pertimbangan.
Perdana Menteri berkata apabila kepentingan politik melebihi
kepentingan Islam, apa sahaja program yang dilaksanakan oleh kerajaan
dilihat sebagai tidak betul.
Beliau berkata sebagai contoh, ada pihak yang cuba menghalang
penyenaraian Felda Global Ventures Holdings walaupun tindakan yang
dilakukan oleh kerajaan itu untuk kepentingan rakyat.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment