BERA 30 Julai - Pemberian 'durian runtuh' kepada
isteri peneroka merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan
itu yang selama ini memainkan peranan penting sebagai tulang belakang
kepada suami masing-masing dalam membangunkan Felda.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan
yang dicapai oleh suami dalam pelbagai lapangan adalah kerana didorong
oleh isteri yang setia dalam menghadapi sebarang situasi.
Hakikat ini katanya, tidak terkecuali bagi warga peneroka terutama
pada peringkat awal memasuki tanah rancangan apabila ketabahan isteri
menghadapi segala kekurangan menjadi pembakar semangat kepada suami
untuk meneruskan kehidupan sebagai peneroka.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan
peranan penting isteri peneroka telah memberi durian runtuh RM5,000
seorang yang selama ini tidak pernah terfikir mereka sendiri.
"Bagi tujuan itu, Felda memperuntukkan RM563 juta bagi fasa kedua
pengagihan wang durian runtuh melibatkan 112,635 isteri peneroka di
seluruh negara berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings
Bhd. di Bursa Malaysia baru-baru ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian cek
durian runtuh kepada 888 isteri peneroka Felda Bukit Mendi dan Felda
Bukit Puchong di Felda Bukit Puchong, di sini semalam.
Sebanyak RM2.275 juta akan diagihkan-agihkan kepada 455 isteri
peneroka di Felda Bukit Mendi manakala RM2.165 juta lagi kepada 433
isteri peneroka Felda Bukit Puchong.
Tambah Ismail Sabri, keprihatinan Perdana Menteri itu sekali gus
membuktikan beliau merupakan pemimpin yang sentiasa memikirkan cara
untuk membela warga peneroka.
"Justeru pemimpin seperti ini perlu dipertahankan dengan apa cara
sekalipun. Kita tidak harus memilih orang lain yang penuh retorik dengan
janji sahaja.
"Jangan mudah mencurahkan air penuh di tempayan kerana mendengar
dentuman di langit sedangkan ia belum tentu menurunkan hujan. Nanti
menyesal tidak sudah,'' jelasnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT)
UMNO.
Ismail Sabri juga mengingatkan peneroka yang mempunyai dua isteri
atau bekas isteri agar mengagihkan durian runtuh RM5,000 tersebut secara
adil kerana masing-masing berperanan membanting tulang memakmurkan
keluarga.
No comments:
Post a Comment