Thursday 26 July 2012

Mahkamah tolak permohonan injunksi Lynas

KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan injunksi untuk menghalang 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL), sebuah kumpulan anti-Lynas, dan lima pihak lagi daripada terus menerbitkan artikel berbaur fitnah mengenai Lynas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara mengetepikan permohonan Lynas dengan kos RM5,000. Dalam keputusannya, Hakim O'Hara berkata mahkamah, pada peringkat ini, tidak dapat menyimpulkan sama ada kenyataan itu adalah fitnah atau sebaliknya, sehinggalah mahkamah mendengar keterangan dalam perbicaraan penuh.
Hakim mendapati kepentingan awam adalah elemen yang relevan dan bersetuju dengan hujah defendan bahawa orang ramai mempunyai hak terhadap maklumat itu.

"Keterangan afidavit di hadapan saya tidak cukup untuk menyakinkan mahkamah bahawa defendan akan gagal dalam perbicaraan," katanya.

Dalam permohonan injunksi itu, Lynas memohon supaya defendan menarik balik artikel bertajuk 'Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMLS Malaysian NGO statement Against Lynas' dari laman blognya sehingga kes saman itu diselesaikan.

Pada 19 April, Lynas Corporation of Sydney, Australia, dan Lynas Malaysia memfailkan saman itu terhadap SMSL Sdn Bhd dan dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow, serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung artikel berbaur fitnah yang disiarkan dalam laman webnya pada 22 Mac.
Selepas keputusan itu, peguam defendan, Datuk Bastian Pius Vendargon memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos bagi pengurusan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment