KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji tindakan sesuai terhadap pemilik
kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak yang kini mencecah lebih
RM26 juta, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin, Timbalan Menteri Dalam
Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, sejak lima tahun lalu terdapat
263,265 saman bagi pelbagai kesalahan trafik membabitkan warga asing
dengan nilai saman berjumlah RM26,326,500.
Menjawab soalan oleh anggota yang sama, Lee berkata, pelantikan ejen
kutipan saman trafik oleh kementeriannya adalah bagi memudahkan orang
ramai menjelaskan saman mereka tanpa perlu membanjiri pejabat polis
daerah.
"Perkara ini tidak membebankan rakyat memandangkan caj
perkhidmatan yang dikenakan ejen berkenaan ditanggung oleh kerajaan,"
katanya.
Sebagai contoh, katanya Pos Malaysia Berhad yang dilantik sebagai
ejen kutipan saman trafik mengenakan kadar caj perkhidmatan RM2 bagi
setiap transaksi manakala caj bagi bayaran saman melalui portal
www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my ialah sebanyak 1.8 peratus daripada
jumlah pungutan bagi bayaran melalui kad kredit dan RM0.50 setiap
transaksi bagi bayaran secara kad debit. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment