Wednesday 11 July 2012

Proses Pengundian Sedikit Berbeza Untuk PRU Akan Datang - SPR


PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat sedikit pengubahsuaian terhadap proses pengundian bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang, bagi memastikan proses yang lebih telus berdasarkan beberapa cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata untuk PRU-13, susunan bilik mengundi agak berbeza apabila wakil parti politik ditukar kedudukannya dengan petak mengundi, bagi membolehkan mereka mendapat pandangan yang lebih baik mengenai pengundi dan proses pengundian.

Beliau berkata tiga kerani pengundian akan ditempatkan di bilik tersebut dengan kerani pertama akan menyemak nama dan wajah pemilih serta jari mereka sama ada telah ditanda dengan dakwat kekal, selain melaungkan muka surat, nombor siri, nombor kad pengenalan dan nama pengundi supaya wakil parti politik boleh menyemak data tersebut di dalam senarai pemilih masing-masing.

Kerani kedua pula akan mencalit dakwat kekal pada jari telunjuk kiri pengundi, manakala kerani ketiga akan mengecap kertas undi dan menyerahkan keratan kertas undi kepada pengundi terbabit, katanya pada sesi taklimat bersama media di sini pada Rabu.

Abdul Aziz berkata nombor siri dan cap pada kertas undi juga adalah unik dan berbeza antara satu saluran pengundian dengan saluran pengundian yang lain, selain kertas undi yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang hanya boleh dilihat melalui sinaran ultra violet bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes kertas undi palsu atau kertas undi tambahan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap undi adalah rahsia dan walaupun ia mempunyai nombor siri, ia tidak boleh dijejak kerana nombor siri dalam daftar pemilih tidak lagi akan dicatat pada kaki kertas mengundi itu.

"Sebelum 2004, kerani yang mengeluarkan kertas undi itu, mengikut undang-undang pada masa itu, dikehendaki menulis nombor siri dalam daftar pemilih pada counter foil (kertas kaki), tujuannya bukan untuk kesan siapa undi apa, tetapi untuk sekiranya terdapat petisyen, ia boleh disemak semula.

"Tapi ini telah dipinda dan tidak boleh dicatit apa-apa di atas counter foil itu, jadi kita tak boleh trace siapa yang ambil keratan itu, dan kerani yang memberi kertas undi itu juga tidak dibenarkan memegang apa-apa peralatan menulis," katanya.

Bagi orang kelainan upaya (OKU) pula, Abdul Aziz berkata mereka akan dibenarkan membawa rakan atau orang yang dipercayainya, dengan syarat mesti berusia 21 tahun ke atas dan merupakan rakyat Malaysia, berbanding sebelum ini hanya mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan dibenarkan.

Mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz meminta agar ia tidak dipertikaikan lagi kerana ia telah diluluskan oleh Jabatan Kimia yang mengatakan bahawa ia telap air manakala Kementerian Kesihatan mengatakan ia tidak memudaratkan kesihatan dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan ia adalah halal dan penggunaannya adalah harus.

Beliau berkata warna dakwat yang berbeza akan digunakan untuk proses pengundian awal dan proses undi biasa, di mana dakwat undi pengundian awal akan kekal lebih lama.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment