Wednesday 27 March 2013

Kerajaan BN Masih Pemerintah Yang Sah Sehingga 28 April

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih lagi merupakan pemerintah yang sah di negara ini biarpun DUN Negeri Sembilan telah terbubar secara automatiknya, demikian kata  pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik Dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamsul Adabi Mamat.
Menurut beliau, biarpun DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan, namun itu tidak bermakna kerajaan yang ada pada hari ini sudah luput tarikh pemerintahannya.
“Jika ada suara-suara yang mengatakan kerajaan BN hari ini tidak sah berdasarkan pembubaran DUN Negeri Sembilan, ini tidak benar. Bagi saya ini semua satu provokasi pihak-pihak tertentu saja. Tarikh luput kerajaan hari ini adalah pada 28 April ini.
“Kabinet Malaysia secara otomatiknya terbubar pada 28 April ini dan selepas tarikh pembubaran tersebut, SPR masih memberikan tempoh selama 60 hari lagi untuk kita melaksanakan Pilihanraya Umum,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Jelas beliau, begitu juga dengan Kerajaan Negeri Sembilan sedia ada masih sah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau Westminster yang diamalkan di negara ini, walaupun selepas DUN terbubar secara automatik.
“Ramai rakyat keliru tentang hal ini. Untuk makluman, tarikh bubar DUN dikira bermulanya tarikh persidangan DUN yang pertama bagi sesebuah negeri itu. Manakala, bagi pembubaran Parlimen pula, ia juga dikira daripada tarikh mula Parlimen bersidang iaitu pada 28 April.
“Justeru itu, sebelum tarikh pembubaran Parlimen tersebut, kerajaan yang memerintah hari ini masih lagi sebuah kerajaan yang sah mengikut perlembagaan undang-undang Malaysia. Cakap-cakap mengenai kerajaan hari ini tidak sah bagi saya hanyalah cakap-cakap dan provokasi politik menjelang pilihanraya saja,” jelasnya. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment