Sunday 14 April 2013

DAP terus berdiam diri


JOHOR BAHRU - DAP terus mengambil sikap ‘berdiam diri’ berhubung pembahagian kerusi melibatkan parti berkenaan dan PKR di negeri ini untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sambil meminta privasi daripada semua pihak, Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, parti itu akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding untuk pilihan raya umum ini apabila tiba masanya.

“Ia akan diumumkan apabila tiba masanya (pengumuman calon) kelak.

“Berikan kami sedikit ruang privasi,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembahagian kerusi melibatkan calon DAP-PKR selepas Pas mengumumkan senarai calon lengkap yang bakal bertanding di negeri ini, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang mengakui sudah bersedia untuk bertemu mana-mana calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU13. 

Beliau turut mendakwa kerusi panas itu bakal ditandingi calon Umno sedangkan Parlimen Gelang Patah sebelum ini disandang oleh wakil dari MCA.

“BN akan membuat keputusan dengan meletakkan calon Umno bagi kerusi Parlimen Gelang Patah,” katanya.

Kit Siang berkata, beliau juga tidak gentar sesiapa sahaja calon BN yang bakal bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

“Saya tahu jika lawan Ghani sekali pun ia bukan satu cabaran yang mudah. 

“Malah saya tidak kisah sekiranya saya akan kalah pada PRU13 di kerusi ini, namun biarlah pilihan raya berjalan secara adil dan bersih,” katanya.

No comments:

Post a Comment