KAMPUNG TANDUO DITUTUP, PENDUDUK DIPINDAH KE LOKASI BAHARU
Lahad Datu, 27 Mac - Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung
Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu
akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung
itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke
satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati
kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu
terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.
"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi
tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih
sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai
ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya
pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari
ini.
Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan
dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal
pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.
Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada
ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis
Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat
kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk
kembali ke rumah masing-masing.
Proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian
dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin
proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk
membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya, katanya.
Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol,
enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas
berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi ini.
Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan
keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu
sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan
tembakan ke arah anggota keselamatan.
Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment