Thursday 21 February 2013

SAMUN RM 2.2 JUTA: TIGA PEKERJA SYARIKAT KESELAMATAN DITAHAN BANTU KES SIASATAN

Kuala Lumpur, 21 Feb - Polis menahan tiga pekerja syarikat keselamatan yang mengendalikan van membawa wang tunai RM2.2 juta yang disamun tiga lelaki, di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga pekerja syarikat berkenaan ditahan untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti tiga suspek yang melarikan wang tunai itu.

"Siasatan awal kita mendapati, semasa kejadian tiga pekerja tersebut dalam perjalanan menghantar wang tunai berkenaan ke sebuah bank di ibu negara, namun mereka telah singgah di medan selera untuk membeli makanan sebelum didatangi tiga lelaki yang mengacukan sepucuk pistol serta alat renjatan elektrik kepada pemandu van keselamatan itu," katanya.

Beliau berkata pemandu van itu turut mendakwa telah ditumbuk di bahagian muka oleh salah seorang suspek sebelum penyamun itu melarikan diri bersama wang tunai menggunakan sebuah MPV.

Dalam kejadian pada 10 pagi semalam, di Jalan 51A/227 menghala ke Jalan 222, Petaling Jaya, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan alat renjatan elektrik dan pistol telah menyamun van keselamatan yang dalam perjalanan menghantar wang ke sebuah bank di ibu negara.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera memaklumkan kepada polis di balai berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment