Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga
kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk
Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam
Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat,
menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal
kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.
"Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan
Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului
berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada
pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di sini, Ahad.
Katanya bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan
di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta
salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa
antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan
memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.
Ismail Sabri berkata antara syarat permohonan skim itu ialah warganegara
Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, berdaftar dengan SSM di
Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak serta
berniaga sepenuh masa.
Antara keistimewaan skim itu ialah penerima tidak dikenakan faedah atau
memerlukan cagaran, dikecualikan daripada semakan Sistem Maklumat
Rujukan Kredit Pusat dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) serta
tempoh bayaran balik antara lima dan sembilan tahun.
Sementara itu, pada majlis penutup Karnival Hospitaliti Kepenggunaan di
Kampung Paya Serai, Bera dekat sini, Ismail Sabri menasihati orang ramai
supaya menyemak kesahihan skimm pelaburan dengan SSM bagi mengelak
menjadi mangsa penipuan.
Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat lengkap termasuk senarai
syarikat�yang menawarkan Skim Berkepentingan Khas (SIS)) dengan melayari
laman web SSM diwww.ssm.com.my.
"Setakat ini, hanya 188 syarikat yang mendapat kelulusan SSM untuk
menawarkan pelaburan dalam projek yang mereka laksanakan menerusi SIS,"
katanya.
Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai yang sudah melabur dalam
syarikat yang tidak disenaraikan dalam laman web SSM menarik menarik
balik pelaburan mereka dan melaporkannya kepada suruhanjaya berkenaan.
No comments:
Post a Comment