Monday 14 January 2013

PAS boleh main ‘flip-flop’ tentang kalimah Allah.


PAS yang mengakui memperjuangkan Islam juga dilihat tidak berprinsip dan kecelaruan pemimpinnya dalam menyatakan pendirian, akhirnya terpaksa akur dengan asakkan pelbagai pihak terutama dari mufti yang menolakkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab bukan Islam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin menegaskan PAS bertindak demikian bagi memastikan tidak terus menghadapi kemerosotan sokongan dan undi daripada masyarakat Islam pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya melihat PAS sudah tunduk pada desakan politik dan keputusan Majlis Syura itu bukan sangat berasaskan pada nas agama tetapi dari sudut perkiraan politik semata-mata,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MyEG mengenai program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).

Di majlis itu berlangsung pertukaran dokumen diantara Pengarah Eksekutif MY E.G Services Berhad, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha dan Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berlangsung di Dewan Sri Endon Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur petang Isnin.

Menurut Khairy, PAS telah lihat bahawa majoriti orang Islam di Malaysia tidak menyokong agama lain menggunakan kalimah Allah dalam kitab mereka.

Sebagai rekod sebelum ini Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersekongkol dengan pendirian Pakatan Pembangkang bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam kitab berbahasa Melayu walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam di negara ini.

Malam Ahad, Majlis Syura PAS tidak setuju kalimah Allah digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Khairy menjelaskan, “bukan sebutan yang menjadi isunya tetapi terjemahan ‘God’ atau ‘Lord’ menggunakan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. Itu isunya.”

Beliau juga berpendapat telah berlakunya permainan ‘menyalahkan antara satu sama lain’ mengenai isu ini.

“DAP mendesak penggunaan kalimah tersebut dikalangan orang bukan Islam tetapi PAS terpaksa setuju dengan suara majoriti yang membantah,” tambahnya.
Menyentuh sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tersebut, Khairy menjangkakan Anwar akan senyap daripada memperkatakan tentang isu penggunaan kalimah Allah di dalam Bible.

“Saya jangka dia (Anwar) akan senyap dalam beberapa minggu mengenai perkara ini,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas kehadiran golongan muda dan mahasiswa di Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu lalu, Khairy berkata, “jangan kita buat kesimpulan semua orang muda pergi ke perhimpunan itu, ramai lagi yang tak pergi.

Bagi saya tidak risau sebab walaupun ada orang muda yang pergi kerana kita kena terima hakikat bahawa ada orang yang sokong pembangkang, ini adalah demokrasi.”

Menurutnya, pada pilihan raya yang lepas, pembangkang mendapat lebih dari tiga juta undi, maknanya sudah pasti mereka ada penyokong dikalangan orang muda dan orang tua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menyifatkan kelancaran perhimpunan aman itu sebagai bukti kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan Dasar Transformasi Nasional dan diterjemahkan serta diterima oleh rakyat.

Beliau menyifatkan tanpa transformasi seperti dilakukan ke atas Akta Perhimpunan Aman, rakyat tidak dapat melihat senario sedemikian pada himpunan tersebut.

Bagaimanapun Khairy menyifatkan himpunan tersebut gagal mencapai sasaran sepertimana yang diuar-uarkan penganjur iaitu sebanyak satu juta orang.

Khairy berkata, “tanpa transformasi, tanpa akta perhimpunan aman, kebebasan bersuara kita tidak akan nampak senario tersebut (seperti Sabtu lalu). Pemuda Umno menganggap transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri telah berjaya. Ini persekitaran baru di Malaysia, kita kena terima.”

Beliau juga melahirkan ucapan terima kasih pada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa yang berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang provokasi. Bagi kami tiada apa yang penting mengenai himpunan ini kerana utamanya himpunan dijalankan dengan aman dan bebas.- OLEH LUKMAN ABDULLAH-14/1/2013

No comments:

Post a Comment