Thursday 2 August 2012

MyIPO Tubuh Jawatankuasa Bersama Persatuan Pelakon Kaji Isu Bayaran Royalti

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menubuhkan satu jawatankuasa dengan persatuan pelakon bagi melihat kaedah agar pelakon turut dibayar royalti bagi hasil kerja mereka.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jawatankuasa itu akan mengkaji kaedah pembayaran royalti kerana ketika ini, pelakon tidak menerima bayaran royalti seperti mana penyanyi, penggubah lagu, serta penulis lirik.

"Cadangan royalti kepada pelakon dibuat susulan pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010). Akta tersebut menumpukan kepada penyanyi, penggubah lagu, serta penulis lirik.

"Kali ini kita cuba tumpukan kepada pelakon. Jadi kita ambil pandangan serta maklum balas pada hari ini. Kita akan tubuhkan jawatankuasa untuk melihat lebih lanjut antaranya perkara melibatkan polisi pembayaran royalti," katanya ketika ditemui selepas sesi santai bersama pelakon, Rabu malam.

Antara yang hadir pada sesi itu ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi serta beberapa pelakon Tasha Shila, Jehan Miskin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, dan Lisa Surihani.

Pada sesi sama, Zed Zaidi turut menyerahkan surat mengenai cadangan penubuhan 'Malaysia Screen Actors Guild Berhad' sebagai badan kutipan royalti untuk pelakon, seperti Screen Actors Guild (SAG) di Amerika ditubuhkan untuk mengutip royalti daripada tayangan filem dan drama dan diedarkan kembali kepada pelakon yang terlibat.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Ismail Sabri menyambut baik kerana merasakan antara masalah utama kegagalan pelakon menuntut royalti kerana tidak mempunyai satu persatuan khusus memperjuangkan hak mereka.

"Salah satu sebab artis tidak dapat hak mereka kerana tidak bersatu, persatuan (artis) terlalu banyak. Mungkin dengan cara dicadangkan hari ini mereka boleh wujudkan satu kesatuan padu khusus menuntut hak mereka," katanya.

Sementara itu, rata-rata pelakon yang ditemui pada sesi itu menyambut baik kesediaan pihak kementerian (MyIPO) untuk memulakan usaha mengkaji pembayaran royalti kepada pelakon, dan juga cadangan penubuhan 'SAG' versi Malaysia.

Bagi Zed Zaidi, beliau gembira dengan perbincangan yang berlangsung, dan percaya cadangan yang dikemukakan itu mampu dilaksanakan demi kebaikan semua pelakon tempatan.

Pelakon popular, Lisa Surihani turut memuji langkah yang diambil Seniman.

"Kami mahu SAG versi Malaysia dan saya gembira Seniman mengambil langkah memulakannya. Saya menyokong penuh usaha penubuhan badan tersebut," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment