Tuesday 10 July 2012

Malaysia Gesa Negara Asia-Pasifik Sokong Rundingan Damai Palestin-Israel

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia menggesa negara Asia-Pasifik supaya terus menyokong usaha diplomatik oleh Kuartet Timur Tengah untuk mempercepatkan rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala) Datuk Husni Zai Yaacop berkata setiap negara perlu menjadi sebahagian daripada usaha global, bersepadu dan selaras ini sebagai masyarakat sivil untuk merealisasikan aspirasi sah rakyat Palestin dan komuniti antarabangsa.

"Kita perlu terus peka terhadap usaha oleh Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin (CEIRPP) terutamanya untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa dari semua aspek berhubung persoalan bagi Palestin, menggalakkan sokongan antarabangsa dan bantuan kepada rakyat Palestin serta untuk menamatkan penderitaan penduduk Palestin.

"Oleh itu, kita perlu terus mewujudkan dan meningkatkan kesedaran awam mengenai perjuangan penduduk Palestin," katanya semasa Mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Asia dan Pasifik Dalam Menyokong Perdamaian Israel-Palestin di Bangkok, Thailand pada Selasa.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment