KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk
Seri Dr Ali Hamsa meminta semua ketua setiausaha dan ketua jabatan
supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan petugas masing-masing
ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau yang berjanji akan turut berbuat demikian, berkata langkah itu
bertujuan menjaga kebajikan penjawat awam dalam melaksanakan tugas.
"Kita perlu turun melihat sendiri keadaan sebenar. Ada kemungkinan
jabatan tertentu ada (berlaku) kelewatan (dalam menyediakan
perkhidmatan). Kita perlu lihat perkhidmatan kaunter (misalnya) dan kita
(hanya) lihat dari depan, dan tidak tahu adakah mereka selesa, adakah
sesiapa yang menjaga mereka.
"Kita perlu jaga kebajikan petugas kita sendiri, perlu lihat kepuasan
mereka untuk memberi perkhidmatan," katanya pada program Dialog Khas
bersama KSN terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1 Rabu
malam.
Pelantikan Ali, 57, berkuat kuasa pada 24 Jun lepas, dan beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Ali yang merupakan KSN ke-13, sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
Program bertemakan 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' itu dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar.
Dalam pada itu, Ali meminta penjawat awam di peringkat atasan supaya
mengamalkan sistem terbuka bagi memberi ruang kepada petugas bawahan
untuk berjumpa dan memberi idea serta mengemukakan sebarang masalah.
Beliau turut menjawab soalan seorang pemanggil berhubung kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam.
Ali berkata antara kaedah yang boleh dibuat untuk menarik minat golongan
itu menyertai sektor awam yang kini mempunyai 1.4 juta pejawat ialah
mengadakan dialog dan perjumpaan dengan persatuan dianggotai bukan
Bumiputera.
Mengenai dakwaan pakej yang ditawarkan di sektor awam kurang menarik
berbanding swasta, beliau berkata lebih banyak maklumat perlu didedahkan
berhubung keistimewaan sektor awam.
Beliau turut menggalakkan ketua setiausaha dan ketua jabatan supaya
menggunakan media baharu seperti Facebook dan Twitter dalam usaha
meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau menggesa penjawat awam supaya memupuk kerjasama erat
antara satu sama lain, selain dengan badan bukan kerajaan, pihak swasta
dan Cuepacs.
"Kita mempunyai kelebihan jika kita bekerjasama mencari jalan untuk
membangunkan negara selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju
menjelang 2020," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment