Thursday 23 February 2012

Tribunal Tuntutan Pengguna Selesai 366 Kes Pelancong Asing Sejak 2008

Dato' Sri Ismail Sabri bermesra dangan kanak-kanak di Taman Permainan Indoor di Times Square Bukit Bintang




KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dapat menyelesaikan 366 tuntutan pelancong asing yang terlibat dalam kes penipuan transaksi pembelian barangan dan perkhidmatan sejak 2008.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato Sri Ismail Sabri Yaakob berkata kebanyakan kes itu melibatkan penipuan dari segi kualiti barangan dan harga tidak berpatutan.

"Mungkin ada pelancong yang tidak tahu mengenai TTPM...kita ingin hebahkan kepada pelancong," katanya kepada pemberita pada sidang media semasa mengadakan tinjauan mesra dan mempromosikan TTPM kepada pelancong di sekitar Berjaya Times Square, Khamis.

Beliau berkata tribunal itu merupakan mekanisme yang memudahkan pemohon di mana mereka tidak perlu menunggu sehingga 14 hari selepas memfail tuntutan.

Permohonan pelancong akan diproses dengan cepat sebelum mereka pulang ke negara asal, katanya.

"Sekiranya tempoh mereka berada di negara ini terlalu singkat, misalnya sehari, sebelum pulang mereka juga boleh memfailkan tuntutan dan meninggalkan tuntutan mereka untuk diuruskan oleh kementerian hingga tuntutan berkenaan diselesaikan tanpa kehadiran mereka di mahkamah.

"KPDNKK akan memaklumkan keputusan tuntutan kepada pelancong... borang tuntutan boleh didapati di pejabat TTPM atau secara online," katanya.

Berdasarkan statistik TTPM, pelancong dari Singapura mencatatkan angka tuntutan tertinggi iaitu 102 berbanding India (50), Nigeria (40), Iran (33) dan Indonesia (21).

Ismail Sabri berkata menerusi tribunal itu, kepenggunaan dan hak warganegara asing yang melancong ke negara ini akan lebih terjamin sekaligus memberi gambaran bahawa Malaysia ialah negara yang selamat untuk berbelanja.

Selain itu, katanya KPDNKK juga akan mengadakan promosi dan hebahan mengenai tribunal itu di kawasan tumpuan pelancong termasuk pusat beli-belah dan lapangan terbang.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment