BERA – Sebanyak 29 rumah di tiga kampung, di sini, rosak apabila
dihempap pokok dan atap diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut,
petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Kampung Putat dilaporkan paling
teruk terjejas membabitkan 19 rumah, dikuti Kampung Bapak (8) dan
Kampung Gau (2). Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam
kejadian itu. Tok Batin Pos Iskandar, Norya Abas berkata, laporan
lengkap mengenai kejadian itu akan diserahkan kepada agensi berkaitan
seperti Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam masa
terdekat.
Menurutnya, bancian untuk mengenal pasti jumlah kerugian masih
dilakukan, namun dianggarkan kerugian membabitkan rumah mangsa sahaja
sehingga RM60,000. “Setakat ini, hanya 29 keluarga melaporkan mengenai
kerosakan pada rumah mereka.
“Berdasarkan tinjauan awal, terdapat empat rumah rosak teruk dengan
sebahagian besar atap diterbangkan angin perlu diberikan perhatian
segera,” katanya semasa tinjauan bersama wartawan Sinar Harian ke
Kampung Putat, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Muhammad Olian Abdullah;
Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bera, Tahzir Husain dan Penghulu Mukim
Triang 2, Kamal Mohamad termasuk kakitangan Pejabat Daerah, Pejabat
Kemajuan Orang Asli Daerah (Jakoa) serta JKM.
Seperti dilanggar garuda
KEJADIAN ribut itu pertama kali menimpa penduduk di sini yang
mengibaratkan tragedi tersebut seperti dilanggar garuda. Seorang
penduduk, Sulong Mamak, 54 berkata, semasa kejadian itu, semua penduduk
tidak berani keluar daripada rumah kerana bimbang keselamatan
masing-masing.
Katanya, kawasan itu merupakan laluan angin dan pusaran angin umpama
ribut taufan berlaku kira-kira 10 minit. “Dalam tempoh itu, habis
pokokpokok tercabut dan tumbang menghempap bumbung rumah. Kebun getah
serta dusun milik penduduk turut musnah.
“Walaupun sejam selepas itu hujan berhenti, kebanyakan penduduk tetap
tidak keluar daripada rumah, manakala kebanyakan wanita dan kanak-kanak
lebih banyak menangis,” katanya. Sulong berkata, pagi semalam penduduk
mengemas dan memotong mana-mana pokok tumbang supaya kawasan
persekitaran rumah bersih.
Sementara itu, Soti Che Mun, 60, berkata, semasa kejadian dia dan
cucunya berada di bahagian dapur, tetapi mereka dapat melihat pokok
pinang di hadapan rumah bergoyang ditiup angin kencang.
Menurutnya, bimbang pokok itu menghempap rumah, dia takut untuk keluar
melihat kejadian itu lebih-lebih lagi apabila dilarang cucunya. “Masa
itu, saya tinggal bersama cucu kerana anak dan menantu ke kebun.
Dari dalam rumah, saya nampak pokok pinang bergoyang kuat. “Tetapi,
tidak sangka bunyi kuat dari luar rumah disebabkan pokok rambutan
tumbang seterusnya mengenai papan suis elektrik,” katanya.
Difahamkan, bekalan elektrik di beberapa rumah turut terputus berikutan
pokok tumbang terbabit mengenai kabel elektrik berdekatan rumah mangsa.
Punca rezeki musnah
TOK BATIN Kampung Putat, Mat Nor Jin berkata, ada beberapa kebun dan
dusun penduduk turut musnah termasuk kebun getahnya. Katanya, antara 0.8
hingga 1.2 hektar kebunnya musnah berikutan pusaran angin ribut
melalui kawasan tersebut.
“Pokok getah bukan sahaja tercabut, tetapi turut patah dipukul angin
kencang. Saya kehilangan lebih 500 pokok getah dan secara tidak langsung
menyebabkan pendapatan bulanan saya berkurangan.
“Sebelum ini sekitar 1970-an, pusaran angin kencang pernah melalui
kawasan sama. Tetapi pada ketika itu, ia dipenuhi dengan hutan,”
katanya.
Manakala, Romi Daing, 47 menyifatkan kejadian itu paling teruk pernah
dialaminya. Menurutnya, semasa kejadian, dia tiada di rumah kerana
bekerja dan hanya pulang pada jam 8.30 malam serta mendapati halaman
rumahnya dipenuhi pokok tumbang.
Katanya, walaupun rumahnya tidak mengalami kemusnahan teruk, namun
pokok rambutan di hadapan rumahnya yang sedang mengeluarkan hasil untuk
menjana pendapatan tambahan mereka sekeluarga, tumbang.
Bantuan segera
SINAR HARIAN turut mendapatkan penjelasan daripada Muhammad Olian
mengenai jenis bantuan disalurkan kepada mangsa bencana terbabit.
Menurutnya, pihaknya menghubungi Pengarah Jakoa mengenai keadaan mangsa
termasuk sebuah rumah yang 80 peratus musnah dalam kejadian tersebut.
“Saya sudah berbincang dan kemungkinan besar Jakoa akan membina sebuah
rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa
(Setum Met, 58) yang tinggal bersama isterinya.
“Ada juga beberapa rumah yang rosak teruk akan dibaiki segera. Manakala
mangsa lain akan dibekalkan dengan peralatan dan atap baru serta
bantuan makanan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, JKM turut menyediakan barangan keperluan
seperti tikar dan kain pelekat atau batik, sementara Pejabat Ahli
Parlimen Bera membantu dalam bentuk kewangan.
Katanya, nilai kerugian untuk setiap rumah mangsa masih dinilai JKM dan
Pejabat Daerah bagi pengagihan bantuan daripada Tabung Bencana Alam
Daerah.
No comments:
Post a Comment