Thursday, 28 June 2012

M'sia Sedia Bantu Bangunkan Sektor Koperasi Guinea

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Malaysia bersedia membantu Republik Guinea untuk membangunkan sektor koperasi di negara itu dengan menggunakan kaedah sama yang digunapakai oleh negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau yakin perkongsian strategik itu akan dapat membantu Guinea untuk memantapkan sistem koperasi di negara itu.

"Kita memberikan komitmen bahawa kita akan bantu kerajaan Guinea dalam mengukuhkan koperasi mereka sekali gus turut dapat berkongsi ilmu tentang bagaimana untuk membangunkan koperasi," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran Hari Koperasi Negara (HKN) 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hasrat Presiden Guinea Alpha Conde yang mahu mengaplikasikan aktiviti koperasi yang dilaksanakan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) ke negara berkenaan secepat mungkin.

Conde kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia.

Ismail Sabri berkata beberapa negara luar termasuk Guinea menjadikan sistem koperasi di negara ini sebagai contoh malah berminat untuk mendalami dan mengikuti langkah yang digunapakai negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata HKN 2012 pada 13 hingga 15 Julai ini akan menyaksikan penyertaan buat kali pertama oleh pengusaha koperasi dari lima negara Asean iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Vietnam.

"Kita mahu mewujudkan rantaian koperasi dengan negara Asean serta negara luar yang lain dan ini adalah permulaan ke arah memperluaskan bidang koperasi negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata pada hari kedua HKN 2012 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, satu anugerah khas turut akan diperkenalkan iaitu Tokoh Koperasi Negara yang akan menjadi anugerah tahunan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata beliau tidak mempunyai halangan terhadap koperasi yang mahu membuka kedai Produk Koperasi 1Malaysia (Koop1Malaysia) terutamanya di kawasan luar bandar.

"Fokus Koop1Malaysia bukan membuka kedai seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tetapi hanya membekal dan memasarkan produk Koop1Malaysia kepada kedai-kedai koperasi dan KR1M yang sedia ada," katanya.

No comments:

Post a Comment