BERA, 16 Jun (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Persatuan Anak-Anak Peneroka
Kebangsaan (ANAK) yang cuba mengheret istana dalam isu penyenaraian
Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Saham, merupakan
satu tindakan biadap.
Beliau berkata tindakan Pengerusi Anak Mazlan Aliman, yang mahu
membabitkan Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan bagi menghalang
penyenaraian itu, adalah satu percubaan mengheret istana dalam kancah
politik pihak pembangkang.
"ANAK tidak jujur dalam perjuangannya, Mazlan merupakan ahli parti
pembangkang, dan cubaan itu amat tidak menghormati Perlembagaan Negara
apabila cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim
Mu'adzam Shah bagi menghalang penyenaraian FGVH di Bursa Saham,"
katanya.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan
Program Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Bersama Rakyat di Kampung
Batu Papan hari ini.
ANAK dilapor ingin mengadakan perhimpunan besar-besaran minggu depan
dan seterusnya berarak ke Istana Negara untuk menyerah memorandum kepada
Yang di-Pertuan Agong.
Ismail Sabri, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan, bagaimanapun yakin peneroka akan bertindak bijak dengan
tidak menyertai perhimpunan itu.
"ANAK hanya memperalat segelintir peneroka untuk kepentingan politik
mereka dan bukan memikirkan masa depan peneroka Felda itu sendiri.
"Mereka membuat pelbagai tindakan untuk menghalang penyenaraian FGVH
tetapi pada masa yang sama, mereka turut mengambil durian runtuh yang
diagihkan baru-baru ini," katanya.
Beliau juga berkata sekalipun terdapat segelintir peneroka yang tidak
yakin dengan langkah menyenaraikan FGVH di Bursa Saham, mereka
sepatutnya tidak mengetepikan suara majoriti peneroka yang mahukan
penyenaraian itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment