Monday 18 June 2012

ATOM Capai KPI Enam Bulan Lebih Awal Dengan Memodenkan 53 Bengkel


KAJANG, 18 Jun (Bernama) -- Program Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) enam bulan lebih awal bagi 2012 apabila 53 bengkel ATOM siap dimodenkan sehingga hari ini.

Mengumumkan demikian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian itu melebihi sasaran 50 bengkel setahun.

Beliau yang melahirkan rasa gembira dengan pencapaian memberangsangkan itu berkata, sebanyak RM7.269 juta telah diluluskan bagi tujuan itu melalui dana RM10 juta yang disediakan kerajaan bagi 2012.

Katanya pencapaian dalam dua tahun berturut-turut juga memberi keyakinan bahawa negara bakal memiliki sebanyak 500 bengkel ATOM di seluruh negara menjelang 2020.

"Dengan transformasi ATOM ini jelas mendapati pendapatan bengkel meningkat sehinggga 30 peratus selain pertambahan pelanggan dan jualan barang ganti (spare parts) termasuk mendapat keyakinan kereta-kereta baru dan mewah untuk mendapatkan perkhidmatannya," katanya.

Ismail Sabri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan bengkel projek Atom, 4 Tuned Auto di Taman Tenaga Kajang, pada Isnin.

Beliau berkata kejayaan projek ini membantu meningkatkan Pendapatan Kasar Negara (GNI) kepada RM1.1 bilion setahun dan memberi lebih 9,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

ATOM merupakan program di bawah Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) untuk memoden dan mentransformasi sektor industri khidmat selenggara dan pembaikan automotif yang kini bertaburan serta tidak tersusun.

"Jadi saya menyeru agar tuan-tuan punya bengkel yang masih lagi menjalankan aktiviti, perniagaan secara lama dan tradisional supaya dapat mengambil peluang daripada tawaran yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Menurutnya kerajaan menyediakan pinjaman sehingga RM100,000 bagi bengkel kereta dan RM50,000 bagi bengkel motosikal dengan kadar faedah serendah tiga peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 15 tahun.

Beliau juga mahukan lebih ramai pengusaha Cina menyertai program tersebut bagi mempertingkatkan daya saing perniagaan mereka.

"Tahun lepas penglibatan kaum Cina dalam ATOM adalah sebanyak 22 peratus. Pencapaian sehingga Jun ini ialah sebanyak 13 peratus. Kalau mencapai 13 peratus lagi sehingga hujung tahun, bermakna mereka mencapai 26 peratus bagi 2012, iaitu peningkatan sedikit sahaja," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment