Thursday 14 June 2012

Sasaran Jualan Langsung 2011 Dapat Dicapai

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin sasaran jualan RM8.5 bilion dalam industri jualan langsung bagi 2011 dapat dicapai apabila semua syarikat terbabit mengemukakan laporan nilai jualan masing-masing menjelang akhir bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga Mei 2012, jualan terkumpul membabitkan 169 daripada 558 syarikat (yang berlesen sehingga 2011) mencecah RM5.3 billion.
"Dalam pada itu, kerajaan menjangkakan nilai jualan industri itu mampu mencecah RM10 billion bagi 2012," katanya ketika berucap melancarkan 'Kod Etika dan Tatacara Jualan Langsung' di sini Khamis.

Beliau berkata sehingga bulan lepas, 39 syarikat antarabangsa telah diluluskan lesen bagi menjalankan aktiviti perniagaan jualan langsung di negara ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata kementeriannya membatalkan 89 lesen syarikat jualan langsung dari 2005 hingga Mei 2012.
Antara lain, Kod Etika dan Tatacara Jualan Langsung itu melarang penjual langsung menggunakan amalan jualan mengelirukan, memperdaya, tidak adil dan skim-skim yang melanggar undang-undang.
Syarikat dan penjual langsung juga dikehendaki mengambil langkah sesuai untuk melindungi maklumat peribadi pengguna.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment