Friday, 22 March 2013

@ismailsabri60 : Jangan Tertipu Dengan Kad Diskaun


PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama)-- Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Khamis menegaskan semua kad diskaun yang ditawarkan kerajaan diberi secara percuma kepada rakyat.

Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan tindakan pihak tertentu yang menawarkan kad diskaun kononnya daripada kerajaan, dengan bayaran sehingga RM30.

"...ada pihak-pihak tertentu di luar yang menjalankan perniagaan kad. Mereka tawar kad dengan bayaran-bayaran tertentu. Nama kad pun agak mengelirukan seolah-olah kad itu kerajaan punya. Sebenarnya tidak.

"Suka saya jelaskan nama Rakyat 1Malaysia hanya boleh digunakan atas kebenaran Jabatan Perdana Menteri (JPM). Sesiapa yang menggunakan nama tersebut tanpa kebenaran JPM adalah salah dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Akta Cap Dagangan 1976," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Menurut Ismail Sabri, antara kad diskaun yang ditawarkan kerajaan ialah Kad Skuad Pengguna; Kad Diskaun Siswa 1Malaysia; 1Malaysia Privilege Card; Kad Bekas Tentera; Kad Orang Upaya serta Kad Pesara Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata tiga juta pemegang kad pintar itu menikmati potongan harga bagi barangan dan perkhidmatan antara lima dan 50 peratus di 2,170 buah premis perniagaan di seluruh negara.

Diskaun membabitkan 13 segmen perniagaan antaranya buku/alat tulis; pakaian/kelengkapan sukan; klinik kesihatan; optometri/cermin mata; penginapan / pengangkutan; makanan/minuman; pusat rawatan/kecantikan; produk IT; automotif; peruncitan; sukan dan rekreasi; serta pembelajaran/pencetakan/cenderamata.

Katanya selain siswa, anggota polis, tentera, pesara dan orang kurang upaya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk memperluaskan kad diskaun itu kepada anggota beruniform lain seperti jururawat, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela.

"Selain itu kita juga sedang mengkaji memberikan kad ini kepada pelajar-pelajar separuh masa, jarak jauh dan yang sedang belajar di luar negara,"katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga mempertimbangkan semua kad itu digabung sebagai kad tunggal.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari www.1pengguna.com/SkuadPengguna.com.

No comments:

Post a Comment