KUALA
LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Operasi Daulat untuk memburu saki baki
pengganas militan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Feb lepas akan
diteruskan sehingga semua kawasan di daerah berkenaan bersih daripada
penceroboh dari selatan Filipina itu.
Yakin
operasi itu boleh diselesaikan dalam masa terdekat, pasukan keselamatan
percaya kini hanya tinggal sekitar 50 orang lagi saki baki kumpulan
militan di kawasan berkenaan.
Anggaran bilangan musuh itu dibuat berdasarkan jumlah yang ditembak mati, ditahan dan lari ke selatan Filipina.
"Kami akan
cuba selesaikan secepat mungkin," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk
Hamza Taib sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatan tidak meletak
'garis masa' untuk operasi itu.
Selepas 12
hari Operasi Daulat, Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi kubu
kumpulan penceroboh kini bersih daripada pengganas, dan pasukan
keselamatan percaya usaha membersih Kampung Tanjung Batu akan dapat
diselesaikan.
Hamza
berkata penduduk kampung terlibat akan dibenar pulang selepas pasukan
keselamatan membersihkan kawasan itu daripada jerangkap samar dan
pelbagai ancaman lain serta berbincang dengan ketua masyarakat.
"Kami akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya.
Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan.
Pasukan
keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari
Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang
menceroboh pesisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas, gagal.
Dalam tempoh
itu, 61 musuh ditembak mati dan 27 daripada mayat pengganas telah
dibawa keluar dari zon merah manakala 104 ditahan kerana disyaki
mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, dan 232 ditahan kerana
berada di kawasan larangan.
No comments:
Post a Comment