Monday 7 January 2013

Rompak, samun guna senjata api tiruan



Rompak, samun guna senjata api tiruan
Mohan Singh menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dipercayai digunakan oleh sekumpulan penjenayah dalam kes samun.

JANGAN melawan! Cepat bagi semua barang berharga! Nampak ni!” Itu antara perkataan yang sering digunakan penjenayah sambil mengacukan senjata api mahupun senjata yang menyerupai senjata api tulen kepada mangsa.

Kegiatan jenayah boleh berlaku di mana sahaja dan berlaku tanpa kita sedar. Ia juga berlaku di luar jangkaan pemikiran kita.

Senjata api tiruan berbentuk senapang atau pistol disalah guna penjenayah untuk menakut-nakutkan mangsa atau melakukan jenayah seperti peras ugut.

Hampir 90 peratus senjata tiruan yang dijual di pasaran menyamai senjata tulen, bentuk luaran, saiz, kelongsong dan kelopak peluru dan warnanya menyamai warna asal senjata tulen.

Senjata berkenaan juga boleh diubah suai untuk menggunakan peluru seperti bebola besi atau guli yang mampu mencederakan atau meragut nyawa.

Dalam kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, individu yang memiliki senjata tiruan, buatan sendiri mahupun permainan yang menyamai senjata tulen boleh ditahan dan disiasat sekiranya disyaki membabitkan isu keselamatan.

“Kalau seseorang itu menyimpan apa saja bentuk senjata api (tiruan, buatan sendiri dan permainan), sekiranya ia menyerupai dan berfungsi seperti senjata tulen, ia satu kesalahan,” katanya.

Hukuman

1 Memiliki senjata yang menyerupai senjata tulen boleh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

2 Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan boleh dikenakan hukuman sehingga satu tahun penjara atau denda sehingga RM5,000 atau kedua- duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

3 Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, seseorang yang didapati bersalah kerana menunjukkan senjata api tiruan dalam melakukan suatu kesalahan berjadual boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan tidak kurang tiga sebatan.

No comments:

Post a Comment