Friday, 4 January 2013

Mahkamah benar bantahan awal pendakwaan bagi permohonan Anwar berhubung larangan berhimpun

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perintah larangan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April dan 1 Mei lalu untuk menggugurkan dua daripada empat pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mahmud Abdullah dalam penghakimannya, berkata Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak ataupun mengkaji sebarang perintah majistret ataupun untuk mengisytiharkannya sebagai tidak sah.
Katanya, permohonan seperti ini tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula rekod majistret dalam memutuskan sama ada perintah majistret tersebut adalah sah ataupun tidak.


"Dengan ini, mahkamah membenarkan bantahan awal pihak responden (pendakwaan) dan menolak permohonan pemohon (Anwar) atas alasan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa," kata hakim itu.

Beliau menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes, sementara Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung dua permohonan Anwar yang lain untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dan isu perundangan.

Pada 7 November lalu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berkata permohonan Anwar adalah permohonan jenayah dan Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepi atau membatalkan perintah yang dikeluarkan mahkamah lebih rendah (Majistret).

Sementara itu, pada 21 Novemberl lalu, peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah bahawa bantahan awal pendakwaan adalah bersifat pramatang, dan merit permohonan Anwar harus didengar terlebih dahulu tanpa bantahan.
Pada 28 Mei lalu Anwar memfailkan bantahan terhadap perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April dan 1 Mei 2012.

Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan perintah yang dikeluarkan adalah tidak betul dan tidak sah.

Pada 22 Mei lalu, Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, 48, dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, 34, didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Mereka turut berdepan pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim, dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja, di sini, pada hari yang sama.

Mereka adalah kumpulan pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Pada 2 Julai lalu, mereka didakwa dengan pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)' yang melebihi lima orang untuk menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment