SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu
lalu berkaitan ketidakstabilan harga saham Felda Global Ventures
Holdings (FGV) tidak sepatutnya dianggap sebagai satu langkah menghasut
rakyat sebagaimana didakwa oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, pemimpin PKR mempertahankan Anwar sambil menyifatkan beliau
dan partinya bertanggungjawab untuk memberitahu perkara yang sebenar
dan melindungi kepentingan pelabur-pelabur selain peneroka Felda itu
sendiri.
"Ya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ada berkata
Datuk Seri Anwar menghasut, sebenarnya Datuk Seri Anwar tidak menghasut,
hanya memberitahu keadaan yang sebenar, mengenai harga saham Felda yang
semua orang tahu, terus turun, sejak enam bulan lalu (disenaraikan)...
jadi, menjadi tanggungjawab Datuk Seri Anwar menjaga kepentingan pelabur
dan peneroka supaya kejatuhan harga saham Felda Global Ventures
Holdings tidak menjejaskan kepentingan mereka," kata Pengarah Strategi
PKR, Rafizi Ramli ketika dihubungi.
Muhyiddin berkata, Anwar tidak sepatutnya mencampuri urusan perniagaan
dengan membuat kenyataan politik yang boleh menjejaskan syarikat awam.
Beliau berkata, Anwar perlu tahu bahawa kenyataan yang telah dibuatnya
akan mempengaruhi sentimen pelabur dan mungkin akan menyebabkan saham
syarikat tersebut terus menjunam.
Anwar baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa harga saham Felda
Global Ventures Holdings akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana
campur tangan beberapa institusi, termasuk Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP).
Bekas menteri kewangan itu mendakwa harga saham FGV pada RM4.62 adalah
kerana campur tangan dalam bentuk pembelian oleh KWSP, Kumpulan Wang
Persaraan (Diperbadankan) dan institusi-institusi lain.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berpendapat Anwar
sebenarnya iri hati dengan penyenaraian saham Felda Global Ventures
Holdings dan ingin mempolitikkan isu tersebut serta berharap agar
harganya terus jatuh.
"Saya tidak pasti sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa
Malaysia boleh mengenakan tindakan terhadap Anwar kerana mengeluarkan
kenyataan yang bertujuan menghasut," kata beliau.
No comments:
Post a Comment