HARON Din, pemimpin Pas menyuruh saya bertaubat kerana saya telah
berkata dalam bahasa Inggeris “Better the devil you know than the angel
you don't".
Mungkin kerana Haron Din tidak mahir dengan loghat pepatah Inggeris maka
ia fikir ini bermakna saya sanggup bersama dengan syaitan. Makna
sebenarnya pepatah ini ialah "lebih baik orang yang dikenali daripada
orang yang tidak dikenali".
Kalau Haron Din fikir saya bermaksud lebih baik saya bersama syaitan
yang saya kenal daripada malaikat yang saya tidak kenal dan ini salah di
sisi agama, maka dia bolehlah suruh saya bertaubat. Tak apalah.
Tetapi pada 24 Januari 1999, Nik Aziz berkata dengan jelas dalam bahasa
Melayu yang saya yakin Haron Din tentu faham ia berbunyi seperti
berikut, "siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin
Islam mesti terima sama ada DAP, MCA atau MIC. Kalau nak tolong mengapa
kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP,
syaitan pun boleh saya terima".
Amat jelas dengan ini Nik Aziz sanggup terima pertolongan syaitan pun
untuk Kerajaan Islamnya. Demikian pendirian Nik Aziz kerana kononnya
begitu kuat perjuangannya untuk mendirikan Kerajaan Islam? Apakah jenis
Kerajaan Islam hasil daripada pertolongan syaitan, sama-samalah kita
fikir.
Haron Din nampaknya terima Kerajaan Islam yang didirikan dengan
pertolongan syaitan. Sebab itu Haron Din tidak menegur Nik Aziz, jauh
sekali daripada menuntut supaya ia bertaubat.
Saya tidak akan bertaubat kerana salah faham Haron Din berkenaan dengan
apa yang telah saya katakan. Sepatutnya Haron Din meminta maaf daripada
saya kerana salah fahamnya tentang apa yang saya perkatakan dalam bahasa
Inggeris. Dan saya akan maafkannya kerana manusia memang lemah dan
tidak pernah bebas daripada membuat kesalahan.
Orang Islam di Malaysia sebenarnya bernasib baik kerana kita semua
mengikuti mazhab yang sama, iaitu kita daripada mazhab Sunni yang
berimam dengan Imam Shafie. Kita tidak sepatutnya berpecah seperti orang
Islam di sesetengah negara Islam lain yang berpecah kepada Sunni dan
Syiah dan sering bermusuh dan berbunuhan sesama mereka.
Malangnya persahabatan dan perpaduan orang Melayu Islam di Malaysia ini
ditamatkan apabila Parti Pas ditubuhkan. Dalam keghairahan Pas untuk
mendapat undi orang Melayu di Malaysia, mereka sengaja menyalah tafsir
agama Islam dan membuat dakwaan bahawa mereka sahaja yang Islam sehingga
orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama mereka.
Tuduhan yang pertama ialah orang UMNO kafir kerana mereka bekerjasama
dengan orang kafir. Saya tidak percaya ada orang Melayu yang terima
dakwaan ini. Ia tidak dibuat dengan cara yang mengikuti kehendak agama
Islam. Tetapi rupa-rupanya tuduhan ini begitu berkesan sehingga berlaku
sembahyang dua imam kerana kononnya imam orang yang tidak sokong Pas,
kafir; perkahwinan semula orang Melayu yang berkahwin sebelum Pas
ditubuh; tanah perkuburan berasingan bagi orang Pas kerana ibu bapa
mereka sendiri yang dikebumikan di kubur lama dan orang UMNO tidak
Islam, penolakan sembahyang jenazah orang UMNO dan penceraian serta
perpecahan dalam keluarga kerana fahaman politik yang berbeza.
Kemudian Haji Hadi menokok tambah kepada perpecahan orang Melayu Islam
dengan amanatnya. Haji Hadi mendakwa bahawa Pas menentang UMNO bukan
kerana namanya UMNO tetapi kerana kononnya mengekalkan perlembagaan
penjajah, kerana kononnya UMNO mengatakan politik suku agama suku.
Sesungguhnya perlembagaan itulah yang memberi kebebasan bersuara,
berparti dan berpolitik kepada Pas. Di kebanyakan negara yang diakui
negara Islam tidak ada kebebasan seperti ini. Sepatutnya Pas menolak
semua kebebasan ini. Tetapi sebaliknya Pas menggunakannya untuk
memfitnah dan mengkafirkan orang UMNO. Islam menyuruh orang Islam setia
kepada Allah, Rasul dan ulil amri, iaitu pemerintah. Pas sebenarnya
tidak setia kepada ulil amri.
UMNO tidak pernah berkata politik suku agama suku. UMNO berpegang kepada
ajaran bahawa Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Cara hidup memang
termasuk politik. Sebab itu UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan tanah
air. Habbul watan minnal iman.
Sebaliknya Pas sekarang menerima pemimpin orang kafir yang secara
terbuka menolak negara Islam Pas serta pemimpin Pakatan yang percaya
kepada kebebasan tanpa had serta pluralisme dalam agama dan kebebasan
keluar dari agama Islam.
Tetapi UMNO tidak akan tuduh orang Pas sudah menjadi kafir. Selagi tidak
ada dakwaan oleh tokoh-tokoh Islam yang tidak berkepentingan, UMNO akan
terima orang Pas sebagai orang Islam. Kita dalam UMNO masih ingin
bersaudara dengan orang Pas seperti ditegaskan oleh agama Islam bahawa
orang Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan politik antara Pas dengan
UMNO tidak bermakna pengasingan politik dari agama, atau agama suku
politik suku. Perbezaan politik di kalangan orang Islam berlaku di
mana-mana sahaja. Namun mereka semua masih Islam.
Tanpa bertaubat kerana pelbagai kesalahannya di sisi Islam, Nik Aziz
telah memurtadkan tiga juta orang UMNO. Dakwaan ini dibuat olehnya tanpa
usul periksa. Tidak ada kajian yang dibuat, sama ada secara ilmiah atau
tidak. Ketidakadilan Nik Aziz jauh berbeza daripada ajaran Islam yang
menegaskan bahawa apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Hakim tidak
boleh terdiri daripada orang yang terlibat dan berkepentingan.
Memurtadkan orang UMNO adalah satu ketidakadilan di sisi agama Islam.
Tetapi, Alhamdulillah, sudah ramai pemimpin dan ahli Pas yang sedar
tentang kesalahan Pas dan pemimpinnya dari segi Islam. Mereka telah
tidak lagi taksub dengan nama Islam yang diberi kepada parti Pas. Mereka
sedar Pas bukan berjuang untuk Islam. Pas hanya ingin memperalatkan
Islam untuk kepentingan politik duniawi pemimpin-pemimpinnya.
Mereka yang keluar dari Pas ini berpeluang untuk benar-benar berjuang
untuk agama Islam, berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam yang
sebenar, terutamanya untuk persaudaraan dalam Islam, tentang berpegang
kepada tali Allah dan jangan bercerai-berai.
Saya tidak akan suruh Haron Din bertaubat. Tetapi Haron Din harus tanya
hati kecilnya sama ada dia didorong oleh agama atau politik duniawi
apabila menyuruh saya bertaubat dan tidak Nik Aziz.
No comments:
Post a Comment