Tuesday, 3 July 2012

50 lagi syarikat dijangka sertai KADS1M

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjangkakan 50 syarikat lagi akan menyertai program Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) menjelang akhir tahun ini.
 Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, banyak syarikat mula berminat menyertai program tersebut bagi meringankan beban lebih 1.5 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
"Sebelum ini banyak syarikat mengambil sikap tunggu dan lihat, tetapi setelah kerajaan melancarkan secara rasmi KADS1M, ramai yang mulai berminat untuk sertai,"
Pelancaran KADS1M yang mula dicadangkan sejak enam bulan lalu itu antara lain menawarkan potongan harga antara lima hingga 60 peratus bagi pelbagai jenis barangan yang merangkumi buku dan alat tulis, makanan dan minuman, produk kesihatan, penginapan, teknologi maklumat dan alat sukan.
Berhubung penggunaan kad tersebut, Ismail Sabri berkata, terpulang kepada peniaga untuk menetapkan bagaimana para penuntut perlu menepati syarat untuk membeli barangan dengan potongan diskaun.
"Mungkin ada peniaga yang tidak kisah jika penuntut menggunakan kad itu untuk mendapatkan diskaun bagi pihak orang lain yang bukan pemegang kad itu atau mereka mahu penuntut menunjukkan kad pelajar sebelum boleh mendapatkan diskaun. Itu terpulang," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan kementerian itu, Datin Mahani Tan Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak 12,000 kad akan diedarkan kepada penuntut tahun akhir semua IPT yang akan memulakan pengajian pada sesi September ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan rekod semua penuntut secara terus daripada IPT bagi mengeluarkan kad itu.

No comments:

Post a Comment