Thursday 28 June 2012

Sharifah Aini sahut seruan daftar sebagai pengundi

SHAH ALAM 27 Jun - Penyanyi terkenal, Datuk Sharifah Aini menarik perhatian para pengunjung di Pejabat Pos Besar Shah Alam di sini hari ini, apabila beliau hadir mendaftarkan diri sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut beliau, langkahnya mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana menyedari ini adalah masa paling tepat untuk menggunakan hak sivil sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang memperjuangkan hak anak seni sepertinya.
''Sebenarnya saya berasa malu dan bersalah kerana baru sekarang mendaftar sebagai pengundi.
''Namun hasil kesedaran yang diberi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua hari lalu (semasa Hari Perhimpunan Bintang 2012 anjuran akhbar Kosmo! dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyebabkan saya hadir hari ini untuk mendaftar.
''Datuk Ismail Sabri masuk ke dalam dewan dan memandang kami (artis-artis yang hadir). Beliau berkata, pihaknya ingin membantu kami semua dan saya merasakan inilah masanya saya menentukan siapa kerajaan yang ingin saya pilih," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, setiap artis dan anak seni perlu menggunakan hak untuk mengundi dengan mendaftar segera sebagai pemilih kerana tarikh akhir 30 Jun semakin hampir.
Sharifah Aini berkata, seramai 50 rakan dan peminat tegar beliau juga turut mengambil langkah yang sama apabila mendaftar sebagai pengundi hari ini di beberapa lokasi seperti Gombak, Petaling Jaya termasuk Shah Alam.
''Kepada rakan seperjuangan yang belum mendaftar, daftarlah segera kerana setiap satu undi mampu merubah sesuatu keputusan pilihan raya dan masa depan negara.
''Saya anggap pendaftaran hari ini sebagai hadiah sempena ulang tahun kelahiran saya yang jatuh pada 2 Julai ini dan insya-Allah saya akan mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya," katanya.
Beliau hadir diiringi adiknya, Syed Osman Syed Yahya dan dua sahabatnya kira-kira 10.30 pagi untuk mendaftar sebagai pengundi.

No comments:

Post a Comment