KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Rang Undang-undang bagi meminda Akta
Francais 1998 yang mencadangkan denda sehingga RM250,000 kepada pemberi
francais yang gagal mendaftar francaisnya dengan Pendaftar dibentang
untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari Selasa.
Rang undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim.
Menerusi pindaan itu seseorang pemberi francais hendaklah mendaftarkan
francaisnya dengan Pendaftar sebelum boleh menjalankan perniagaan
francais atau membuat tawaran untuk menjual francais kepada mana-mana
orang.
Pertubuhan yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000
bagi kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM500,000 bagi kesalahan
kedua dan seterusnya.
Bagi individu yang melakukan kesalahan pula boleh didenda tidak lebih
RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali
dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000
atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pemberi francais juga hendaklah mengemukakan laporan kepada Pandaftar
dalam tempoh enam bulan daripada penghujung tahun kewangan mereka dan
Pendaftar juga diberi kuasa untuk membatal pendaftaran pemberi francais
yang gagal menyerahkan laporan tahunan bagi tempoh lima tahun
berturut-turut.
Pindaan itu juga mewajibkan broker francais atau perunding francais
memperbaharui pendaftaran dalam tempoh 30 hari daripada tamat tempoh
pendaftaran dan mereka yang gagal jika disabitkan boleh didenda tidak
melebihi RM10,000 dan tidak melebihi RM25,000 bagi kesalahan kedua atau
berikutnya.
Pindaan itu yang bertujuan mengemaskini Akta sedia ada agar selaras
dengan pembangunan industri perniagaan francais di negara ini tidak
melibatkan perbelanjaan kewangan tambahan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment