Wednesday 27 June 2012

Model Quadruple Helix Akan Bantu Negara Capai Lonjakan Berganda - Najib

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata model "Quadruple Helix", yang membabitkan kerjasama akademia, industri, kerajaan dan rakyat, akan membantu negara mencapai kejayaan bersifat lonjakan berganda.

Perdana Menteri berkata tiga aspek diberi penekanan bagi tujuan itu iaitu peningkatan produktiviti, memperkasakan inovasi dan menggalakkan kreativiti untuk mencapai matlamat wawasan negara.

"Inilah disebutkan sebagai ekosistem, kalau kita nak menjayakan inovasi tanpa dukungan ekosistem, apa yang kita maksudkan itu tidak mungkin tercapai.

"Saya percaya banyak lagi dapatan yang masih terkongkong di dalam makmal, pusat-pusat penyelidikan yang belum lagi mencapai tahap pengkomersilan.

"Malah, definisi inovasi itu sendiri ialah apabila hanya sesuatu dapatan itu dikomersilkan, barulah ia layak digelar sebagai satu inovasi," katanya di Ekspo Inovasi Malaysia 2012 (IMT2012) Agensi Inovasi Malaysia (AIM) di Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini Rabu.

Najib juga berkata langkah-langkah yang dibuat oleh AIM seperti menyiarkan secara proses bidaan supaya dapatannya boleh ditawarkan kepada orang ramai dan syarikat swasta bagi membuat bidaan, membolehkan lebih banyak inovasi menarik diperkenalkan ke dalam pasaran.

Ini adalah kerana selagi sesuatu inovasi itu tidak sampai ke pasaran, produk tersebut tidak boleh dikatakan sebagai satu dapatan yang layak digelar sebagai sebahagian atau sebagai proses inovasi, katanya.

Najib berkata pembida yang terbaik boleh menggunakan dapatan itu untuk dihasilkan secara komersial yang akan beliau umumkan tidak lama lagi.

Sementara itu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara AIM dan 26 universiti awam dan swasta terkemuka Malaysia, institut penyelidikan dan syarikat untuk bekerjasama dalam penubuhan Pejabat Pengkomersilan Teknologi Negara (NTCO).

Ia adalah perjanjian kerjasama strategik di antara empat komponen penting dalam meneraju misi inovasi negara iaitu akademia, industri, kerajaan dan rakyat.

NTCO ialah pusat untuk membantu universiti dan institut penyelidikan awam untuk mengkomersilkan inovasi mereka serta menyediakan pemain industri dan pelabur dengan perpustakaan inovasi yang disatukan untuk diketengahkan ke pasaran.

Institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan awam dan agensi yang mengambil bahagian dalam inisiatif itu ialah Universiti AIMST, Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Yayasan Sabah, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MARDI), SIRIM Berhad dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Lainnya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA),Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan University of Nottingham Malaysia.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment