KUALA LUMPUR 28 Jun - Hasrat Presiden Guinea,
Prof. Alpha Conde mengaplikasikan kaedah dan aktiviti koperasi negara
ini di negara tersebut membuktikan kemampuan koperasi tempatan setanding
dengan koperasi di peringkat antarabangsa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, minat yang ditunjukkan kerajaan Guinea
itu merupakan pengiktirafan yang seharusnya dibanggakan rakyat negara
ini.
Menurut beliau, ia juga membuktikan komitmen kerajaan dalam
meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat dengan aktiviti koperasi
menjadi salah satu pendekatannya.
"Segala usaha itu terbukti berkesan dengan minat yang ditunjukkan
beberapa negara luar terhadap pengurusan dan kemampuan koperasi tempatan
antaranya Brunei, Timor Leste dan terbaru Guinea," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Hari Koperasi Negara (HKN) 2012 di sini hari ini.
HKN 2012 akan berlangsung selama tiga hari bermula 13 Julai ini di
Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, akan dirasmikan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Julai.
Mengenai HKN 2012, Ismail Sabri berkata, program itu bakal menjadi
sambutan terbesar kerana buat pertama kalinya melibatkan beberapa negara
dari rantau ini iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan
Vietnam.
"Selain itu, HKN 2012 juga dijangka disertai lebih 100,000 ahli koperasi dari seluruh negara," katanya.
Menurut Ismail Sabri, bermula tahun ini juga anugerah khas iaitu
Anugerah Tokoh Koperasi Negara bakal diperkenalkan bagi menghargai jasa
dan pengorbanan individu dalam bidang tersebut.
No comments:
Post a Comment