KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Kedua Penggal Kelima
Parlimen ke-12 yang bersidang sejak 11 Jun lepas ditangguhkan hari
Khamis ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Sepanjang persidangan selama 12 hari itu, Dewan Rakyat meluluskan lapan
rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang
(Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2012 dan Rang
Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012.
Turut diluluskan Rang Undang-Undang Pelindung (Pindaan) 2012, Rang
Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang
Umur Persaraan Minimum 2012, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan
(Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Francais (Pindaan) 2012.
Sementara itu, Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan
Komplementari 2012 yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua
pada persidangan kali ini, dibawa ke persidangan akan datang.
Dewan Rakyat turut meluluskan usul penyata Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen mengenai Projek Lynas Advance Material Plant (LAMP) yang
mengandungi 31 syor berhubung projek nadir bumi itu.
Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat dijadual bersidang pada 24 Sept depan dan
akan bermesyuarat selama 34 hari, sekiranya Parlimen tidak dibubarkan
bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment