Monday, 2 July 2012

Mahasiswa Perlu Berfikiran Terbuka, Terima Agenda Kerajaan Semasa - Muhyiddin

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan mahasiswa agar berfikiran terbuka untuk menerima agenda kerajaan semasa.

Beliau berkata mahasiswa juga harus memikul tanggungjawab untuk memastikan kemakmuran yang dimiliki dan dinikmati hari ini berkekalan dan negara terus bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain.

"Sebagai pemangkin dan penggerak kepada agenda negara, mahasiswa harus membuat pertimbangan wajar demi kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan.

"Saya percaya mahasiswa hari ini akan memilih yang terbaik untuk Malaysia dan akan berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang sedia ada," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mempengerusikan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 1/2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat MPPK 1/2012 dihadiri 70 perwakilan daripada 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 20 IPT swasta dari seluruh negara. MPPK merupakan satu platform yang diwujudkan sejak Oktober 1999 sebagai satu pengiktirafan terhadap para mahasiswa untuk memberikan idea dan pandangan.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara bijak merencanakan pelan dan melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi.

"Saya menasihatkan mahasiwa agar melengkapkan diri dengan ilmu berkualiti, nilai murni, sahsiah tinggi untuk menjadi seorang insan yang baik dan bersikap patriotisme kepada negara," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berharap mesyuarat MPPK akan terus kekal menjadi platform untuk para mahasiswa menyampaikan pandangan kepada kerajaan dalam proses merencana agenda negara untuk masa depan.

Beliau berkata banyak pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh mahasiswa menerusi platform MPPK ini, termasuk peluang pekerjaan untuk para graduan IPT dalam pelbagai sektor di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan pelancaran portal Career for You.

"Melalui MPPK, kerajaan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada para pemimpin mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara untuk terlibat secara langsung dalam proses merencana agenda nasional," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan mahasiswa sebagai rakan kongsi pembangunan negara.

Beliau berkata usaha-usaha yang diperkenalkan kerajaan seperti 1Malaysia For Youth dan Duta Universiti bertujuan untuk memperkasa para mahasiswa agar suara, idea dan pandangan mereka didengari dan dapat diperkukuhkan.

"Ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar dan ambil peduli kehadiran dan keberadaan anda semua sebagai penentu kepada kemajuan dan kejayaan negara," katanya.

Mesyuarat hari ini yang dijalankan secara tertutup membincangkan tiga kertas kerja iaitu Cabaran Malaysia Dalam Mencapai Status Negara Maju Dan Berpendapatan Tinggi, Kesediaan Malaysia Sebagai Hab Pengajian Tinggi Antarabangsa dan Masa Depan Mahasiswa Aliran Pendidikan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment